Malaysia Dateline

Logo SPRM 3

Jangan guna SPRM tindas pembangkang

Pemuda AMANAH Nasional mengingatkan agar Perikatan Nasional (PN) tidak menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai alat bagi menindas pembangkang.

Ia susulan seorang demi seorang pemimpin pembangkang yang disiasat dengan yang terbaharu penahanan reman Setiausaha Politik kepada Presiden AMANAH yang didakwa dipanggil untuk disiasat dengan cara yang tidak profesional.

Timbalan Ketua Pemudanya, Taqiuddin Cheman berkata, semua ini dilakukan seolah-olah bagi memberi gambaran buruk terhadap Pakatan Harapan dan Warisan, selain cubaan membeli sokongan daripada pemimpin pembangkang menjelang 13 Julai ini.

“Penindasan bukan sahaja dilakukan terhadap barisan pimpinan pembangkang di Semenanjung, tetapi juga di Sabah.

“Pimpinan Parti Warisan Sabah disiasat atas kes lama yang telah selesai dan pada masa yang sama, bekas Ketua Menteri Sabah pula dibebaskan dari segala tuduhan rasuah.

“Ahli-ahli Parlimen yang gagal ‘dibeli’ dengan ‘scheme of thing’, kini diugut dengan SPRM agar sokongan diberikan kepada Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada semalam, susulan penahanan Mohd Azhar Che Mat Dali, SPRM turut melakukan operasi penggeledahan di ibu pejabat parti di Wisma AMANAH Negara, Kuala Lumpur awal pagi semalam.

Walau bagaimanapun, Setiausaha Agung AMANAH Nasional, Dr Mohd Hatta Ramli mendakwa tindakan geledah tersebut dilakukan tanpa dikemukakan dokumen waran geledah kepada pegawai keselamatan Wisma AMANAH Negara.

Malah, apabila ditanya, SPRM didakwa berkata waran itu akan diserahkan kepada Azhar yang telah dibawa bersama.

Sementara itu, Taqiuddin menyifatkan tindakan memohon reman terhadap Azhar adalah keterlaluan kerana tiada keperluan untuk membuat permohonan berkenaan melainkan beliau tidak memberikan kerjasama apabila dipanggil pihak SPRM.

Beliau turut membangkitkan beberapa laporan SPRM yang dibuat pihak pembangkang, didakwa seolah-olah tidak dipedulikan apabila tiada respon daripada pihak SPRM mahupun makluman menerima aduan juga tidak diberikan kepada pihak pengadu.

“Justeru, Pemuda AMANAH Nasional melihat Perikatan Nasional menjadikan SPRM sebagai alat menekan pihak pembangkang.

“Tindakan PN memperalatkan SPRM pastinya akan menyebabkan kredibiliti SPRM sebagai badan bebas yang dipercayai akan terjejas,” tegasnya.