Jangan gunakan konflik Malaysia-Korea Utara untuk kepentingan politik, kata MP

Jangan gunakan konflik Malaysia-Korea Utara untuk kepentingan politik, kata MP

Umno Barisan Nasional (BN) diingatkan agar tidak memanipulasi konflik Malaysia-Korea Utara bagi mendapatkan sokongan politik kepada mereka.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, peristiwa Lahad Datu pada 2013 menyaksikan Umno BN mendapat sokongan politik sebaliknya parti pembangkang diserang habis-habisan dan dituduh tidak patriotik.

“Krisis ini juga sekali lagi menonjolkan kelemahan risikan dan kawalan keselamatan negara dari ancaman luar.

“Ia mengulangi insiden Lahad Datu pada 2013 apabila pencerobohan yang dilakukan ke dalam perairan negara langsung tidak dapat dikesan.

“Dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam, saya tertanya-tanya, apakah pihak keselamatan langsung tidak mengetahui kemungkinan Kim Jong Nam dengan latar belakang peribadinya yang sedemikan rupa menjadi ‘high profile target’ kepada pembunuhan terancang dalam keadaan beliau sentiasa bergerak keluar masuk Malaysia sejak sekian lama.

“Begitu juga bagaimana isu perisik Korea Utara telah beroperasi di Kuala Lumpur sejak sekian lama dengan membuat pengintipan terhadap rantau ini,” kata beliau dalam kenyataan.

Mahfuz juga mengesa kerajaan memberikan taklimat tertutup kepada seluruh ahli parlimen berkaitan isu ini agar maklumat yang tepat dan sekata dapat disampaikan kepada rakyat dan seterusnya dapat mencegah timbulnya spekulasi, berita palsu, fitnah dan lain-lain perkara negatif yang tidak membantu ke arah penyelesaian segara konflik hubungan Malaysia dan Korea Utara ini.

“Saya cadangkan dengan penuh objektif demi negara tercinta bahawa, satu proses mediasi dengan Korea Utara perlu diambil, supaya ketegangan ini dapat diselesaikan dalam keadaan menang-menang untuk kedua-dua pihak.

“Di samping itu pihak berkuasa negara juga hendaklah mengambil pendirian terbuka untuk menerima cadangan-cadangan yang matang daripada mana-mana ‘sektor rakyat’, tanpa mengambil kira pegangan politik mahupun pendirian peribadi pihak tersebut, supaya jalan penyelesaian yang terbaik dapat dikenal pasti,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)