Malaysia Dateline

Jangan hadkan cara peroleh ilmu

Menurutnya, ilmu boleh diperoleh melalui perkembangan internet pada masa ini memandangkan bukan semua orang berupaya untuk sentiasa ‘berlaga lutut’ dengan guru kerana kekangan masa, wang dan peluang.

“Dalam kampung global kini, ilmu dengan mudah diperoleh melalui saluran YouTube. Dalam laman al-Azhar TV ada ribuan kuliah dlm pelbagai disiplin ilmu daripada ratusan ulama al-Azhar.

“Begitu juga dalam laman an-Nabulsi, asy-Syanqiti, al-Adawi dan ramai lagi. Kuliah mereka berkitab dan berurutan, dan kita boleh menyemak kitab yang mereka baca dan rujuk tanpa gugur sepatah pun,” jelasnya dipetik daripada kenyataan beliau di Facebook.

Ustaz Zolkharnain Abidin Tidak menafikan pentingnya ‘berlaga lutut’ dengan guru, beliau menyifatkan pendekatan itu sebagai paling utama khususnya dalam mendapat keberkatan daripada keikhlasan guru.

“Tetapi, jangan hadkan dengan cara itu saja sehingga menafikan cara lain sehingga ilmu yang diperolehi dengan cara lain, melalui internet misalnya, tidak diiktiraf sebagai ilmu. Mengapa perlu begitu?” soalnya.

Beliau berkata, pencarian ilmu tidak harus dibataskan pada pertemuan bersemuka dan mengambil sanad daripada guru kerana ilmu yang boleh diperoleh daripada saluran internet kadang-kadang lebih bermutu.

“Bukankah itu (melalui internet) juga sumber ilmu? Mengapa dibataskan pencarian ilmu mesti berdepan dengan guru dan mengambil sanad daripadanya? Bukankah tujuannya adalah ilmu, bukannya sanad, mengapa disyaratkan bersanad?” soalnya.

Sehubungan itu, Zolkharnain berpendapat teknologi pada masa ini membolehkan proses memperoleh ilmu berlangsung secara dua hala yang tidak harus dipertikaikan.

“Betul, ilmu perlu diambil daripada mulut guru, misalnya ilmu membaca al-Quran. Tetapi, kini orang boleh meniru bacaan al-Quran yang betul dengan melihat mulut pembacanya melalui internet.

“Jadi, usahlah pertikaikan cara itu dan menafikan kesahihannya,” jelasnya yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Perlis itu.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menolak usaha pihak yang mahu memperoleh ilmu secara langsung di pusat pengajian tetapi berharap tidak mempersoal ilmu orang lain yang tidak bersama mereka.

“Mereka yang ingin terus ke pusat pengajian sebegitu, silakan. Bukan salah pun. Cuma jangan pertikaikan ilmu orang lain kerana kononnya tidak bersanad.

“Carilah ilmu yang benar. Jangan cari kemegahan dengan ukuran sanad. Sanad yang panjang, belum tentu akal dan ilmunya panjang juga,” bidas mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Santan selepas Pilihan Raya Umum 1999 itu.

Mengulas lanjut, Zolkharnain menyifatkan hal paling penting ialah meningkatkan kualiti ilmu yang disampaikan bukan meletakkan syarat yang bukan-bukan.

“Syarat utama dalam menuntut ilmu ialah mencari kebenaran, bukan untuk berbalah dan bukan untuk sombong. Jika seorang penuntut ilmu mencari sanad (bukan mencari ilmu), suka persoalkan ilmu orang lain (kononnya tak bersanad) dan sombong (kerana dia bersanad kononnya), itu sudah terkeluar daripada syarat menuntut ilmu yang para ulama gariskan.

“Saya dapati syarat bersanad ini dipromosikan oleh pengusaha pondok atau pusat pengajian kitab jawi lama supaya pusat pengajian mereka terus ada pengunjung. Jika tidak diletakkan syarat sebegitu, tentu kesannya ada pada pusat pengajian mereka,” tambahnya lagi.