Jangan halang Kerajaan Persekutuan bantu rakyat di Sarawak, kata Presiden AMANAH

Jangan halang Kerajaan Persekutuan bantu rakyat di Sarawak, kata Presiden AMANAH

Pimpinan AMANAH Negeri Sarawak merakamkan kenangan bersama Presiden AMANAH Haji Mohamad Sabu pada Majlis Makan Malam di Sibu malam tadi.

Kerajaan Negeri Sarawak diingatkan supaya tidak menghalang usaha Kerajaan Persekutuan dalam membantu rakyat di negeri ini.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Haji Mohamad Sabu berkata, untuk memajukan negeri ini, polisi Kerajaan Negeri Sarawak mestilah sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.

Justeru katanya, segala pembangunan yang dibawa ke negeri ini tidak akan tergendala dan bukannya dengan cara mendesak dan menghalang usaha baik yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Saya berharap Kerajaan Negeri Sarawak dapat memberi kerjasama dan bukannya menghalang untuk kerajaan pusat membantu rakyat di negeri ini.

“Bagi mencapai ke arah itu, polisi kita mestilah sehaluan kerana kita tidak mahu bantuan yang hendak disalurkan kepada rakyat tidak sampai, tergendala begitu sahaja,” jelas beliau.

Mohamad Sabu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam ‘Memenuhi Harapan Mendukung Inspirasi’ Parti AMANAH Negeri Sarawak di sebuah hotel terkemuka di Sibu malam tadi.

Sebahagian mereka yang hadir pada majlis berkenaan.

Seramai 500 orang hadir pada majlis itu bagi meraikan perwakilan dan pemerhati yang hadir pada Konvensyen Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sarawak di sini semalam.

Pada Konvensyen Tahunan kali Ke-4 Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak semalam, Abang Halil Abang Naili telah dipilih menerajui pengerusi negeri bagi penggal 2019-2022

Menyentuh hal parti, beliau yang juga merupakan Menteri Pertahanan Malaysia menekankan bahawa Parti Amanah tidak hanya inklusif untuk kaum Melayu Islam sahaja namun turut menerima ahli daripada pelbagai kaum lain terutamanya di Sarawak.

Katanya, perpecahan dalam kalangan ahli Umno sehingga wujudnya Parti Bersatu telah menguatkan lagi komponen Pakatan Harapan (PH) dari kalangan DAP, Keadilan dan AMANAH.

Tegas Mohamad Sabu, tidak dapat dinafikan bahawa cabaran yang terpasa dihadapi PH sekarang adalah menanggung hutang negara yang telah ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Oleh demikian PH adalah formula terbaik untuk rakyat Sarawak pada PRN12 akan datang kerana ia merupakan pakatan yang terdiri daripada pelbagai etnik kaum sepertimana kaum etnik pelbagai yang harmoni di Sarawak.

“Ini kerana politik pembangkang di Semenanjung terlalu memainkan sentimen perkauman setiap kali menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini dan ia bukanlah budaya yang sihat untuk dibawa ke Sarawak,” tambahnya.

Jelas beliau lagi, buat masa sekarang, AMANAH akan mengadakan perbincangan dengan komponen PH Sarawak pada awal tahun hadapan dalam membuat manifesto khas untuk menghadapi PRN12 Sarawak akan datang yang mana AMANAH Sarawak akan bertanding di 13 kerusi.

Seterusnya beliau menambah, kerajaan di bawah PH komited untuk mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia pada masa akan datang.

Katanya, akauntabiliti adalah perjuangan sebenar PH dalam menghapuskan penyelewengan terutamanya isu rasuah dalam kerajaan sehingga PH berani melantik ahli dari pembangkang untuk turut sama dalam pelbagai suruhanjaya yang ditubuhkan bagi memastikan ketelusan kewangan kerajaan baharu.

Beliau turut memberitahu bahawa Tabung Pahlawan Negara telah berjaya membuat kutipan sebanyak RM10 juta baru-baru ini tanpa bantuan daripada kerajaan dengan menggunakan cara ‘personal touch’ daripada Menteri Pertahanan sendiri yang berjumpa dengan pelbagai badan dan ahli perniagaan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelawan, David Wong, Setiausaha Politik di Pejabat Perdana Menteri (Agama) Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, Pengerusi Parti AMANAH Sarawak Abang Abdul Halil Abang Naili dan Ketua Cabang PKR Kanowit George Chen.