Jangan hanya protes kosong di media sosial, cabar Pemuda Amanah pada anak muda

Jangan hanya protes kosong di media sosial, cabar Pemuda Amanah pada anak muda


 

“Pemuda Amanah menyeru warga muda negara untuk bangkit dan bertindak. Keluar daripada protes kosong di media-media sosial dan berpencak langsung dalam realiti perubahan yang mampu menurunkan Najib,” kata Ketuanya, Sany Hamzan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pemuda Amanah Nasional turut menggerakkan kempen “Selamatkan Malaysia” dan memberi fokus kepada perbincangan dengan kelompok anak muda yang menolak perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Pemuda Amanah Sany Hamzan berkata, usaha merawat negara yang rosak harus menjadi agenda nombor satu anak-anak muda di Malaysia.

Perubahan sistem yang menyeluruh wajib bermula dengan turunnya Najib dan disusuli pilihan raya umum yang bersih dan adil.

“Pemuda Amanah menyeru warga muda negara untuk bangkit dan bertindak. Keluar daripada protes kosong di media-media sosial dan berpencak langsung dalam realiti perubahan yang mampu menurunkan Najib,” katanya dalam satu kenyataan media.

Bagaimanapun, Pemuda Amanah masih belum membuat keputusan sama ada akan menyertai himpuan menolak Najib pada 27 Mac ini atau tidak.

“Kami sedang menilai dari sehari ke sehari perkembangan dan kejujuran gerakan pasukan Mahathir yang digerakkan oleh Zaid Ibrahim.

“Sejujurnya, kami lebih cenderung perubahan asli yang digerakkan oleh rakyat dan anak-anak muda,” katanya.

Sementara itu, sekumpulan anak muda yang menggelar diri mereka sebagai ‘Challenger’ dalam satu kenyataan mengumumkan sudah hilang kepercayaan terhadap Najib.

Jurucakap kumpulan itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, mereka tidak akan menutup mulut melihat masa depan mereka dirompak.

Syed Saddiq dipercayai merujuk kepada salah guna dana awam dan ‘derma’ RM2.6 bilion yang melibatkan Najib.

Mengalu-alukan pendirian kumpulan anak muda itu, Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Kebangsaan, Wong Kah Woh, berkata setelah pelbagai skandal kewangan dan salah guna dana awam dilakukan pemimpin tertinggi negara itu, adalah wajar bagi rakyat menolak Najib.

Ahli Dewan Undangan Negeri Canning itu berkata, tindakan Perdana Menteri yang melumpuhkan pelbagai agensi kerajaan demi menutup kesalahan yang dilakukannya mengakibatkan keyakinan rakyat terhadap pemimpin nombor satu negara itu semakin terhakis.

“Skandal RM2.6 bilion dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah berlaku sekian lama. Sebenarnya tidak ada seorang pun yang mempunyai pemikiran yang logik akan percaya bahawa tidak ada salah laku yang terlibat dalam isu berkenaan.

“Jabatan Peguam Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan segala agensi yang terlibat dalam penyiasatan dilumpuhkan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat. Apa yang kita boleh harapkan daripada kerajaan apabila Najib sanggup untuk berbuat begitu?

“Kami mengalu-alukan usaha dan pendirian untuk mendapatkan kebenaran dalam skandal terbabit. Najib sebenarnya pada hari ini merupakan penghalang terbesar kemajuan negara, dan pemusnah ekonomi negara, yang mana skandal itu menyekat keyakinan pelabur-pelabur asing,” katanya.

Justeru, bagi menyelamatkan negara daripada terus hancur dibinasakan pemimpin yang tidak bertanggungjawab, Kah Woh menyeru supaya seluruh rakyat, khususnya anak muda untuk bangkit menentang amalan korup pemerintah berkenaan.

“Anak-anak muda akan menentukan keputusan pilihan raya umum ke-14 serta pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang.

“DAPSY menyeru supaya anak muda bangkit dan menjadi penentu masa depan negara,” katanya.

TAGS