Selepas terungkap kejadian sebenar bahawa remaja yang mencuri wang tabung masjid didapati terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasbie Muda mengambil sikap tanggungjawab untuk terus membantu remaja berkenaan.
Menerusi kemaskini di Facebook, Hasbie berkata, sewaktu beliau memegang jawatan sebagai ketua pemuda, beliau diingatkan untuk tidak hanya menyantuni pengundi muda dan kelompok-kelompok anak muda yang berjaya ‘jadi orang’.
Sebaliknya, kelompok yang dilihat belum ‘menjadi orang’ seperti penagih dadah, anak muda gelandangan, banduan muda, dan juvana juga perlu dibantu dan dibimbing.
“Mereka juga adalah sebahagian dari masyarakat. Kadangkala apa yang berlaku bukanlah pilihan tetapi ketentuan yang sukar mereka ubah tanpa bantuan orang sekeliling.
“Orang politik selalu memikirkan bagaimana untuk dapatkan undi orang muda.
“Tapi kita jarang mahu fikir bagaimana menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka. Malas nak serabutkan kepala,” ujarnya.
Sebelum ini, Hasbie tampil mempertikai tindakan sekumpulan ahli kariah masjid yang memandikan remaja berusia 19 tahun itu seperti jenazah dan menularkannya di media sosial.
Denda sebanyak RM4,000 yang dikenakan kepada remaja berkenaan kerana mencuri tabung masjid, juga dilaporkan sedia dibayar oleh pemuda AMANAH.
Kejadian menimpa remaja berkenaan terus meraih simpati netizen sebelum polis pada semalam menafikan dakwaan remaja berkenaan mencuri wang untuk membiayai kos perubatan datuknya, sebaliknya ia digunakan untuk membeli dadah.
Bagaimanapun dalam hantaran terbaru, Hasbie menyifatkan bahawa kemungkinan usaha kecil mereka ini yang terus membantu remaja berkenaan biarpun telah dijatuhkan bersalah, akan memberi hasil yang lebih bermakna kepada kehidupan anak muda tersebut.
“Pemuda AMANAH Nasional memang tak mampu buat banyak perkara. Mungkin apa yang kami buat tiada kesan signifikan pun. Tiada siapa pun mahu peduli.
“Tetapi satu usaha kecil lebih bermakna daripada hanya hidup berpeluk tubuh,” katanya.