Jangan hanya undang-undang tanpa penguatkuasaan, kata NGO

Jangan hanya undang-undang tanpa penguatkuasaan, kata NGO

Md Rashid Nor

Pengumuman Kementerian Kesihatan untuk menguatkuasakan undang-undang larangan merokok di semua restoran dan premis makanan dalam negara ini mulai 1 Januari 2019 adalah suatu usaha yang positif.

Demikian dinyatakan oleh Presiden Persatuan Kebajikan Pengguna Pulau Pinang, Md Rashid Nor.

Jelas beliau lagi, dengan ketetapan tersebut ia memberi kelegaan kepada orang ramai khususnya bagi mereka yang tidak suka diganggu dengan asap rokok maupun yang menghadapi masalah kesihatan.

“Sepertimana yang dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan bahawa undang-undang ini akan dikuatkuasakan pada 1 Januari yang akan datang.

“Sehubungan itu adalah menjadi harapan agar ia dapat dikuatkuasakan dan bukan hanya tinggal undang-undang semata-mata.

“Kita mempunyai banyak undang-undang dan akta yang telah pun digubal, namun begitu penguatkuasaan undang-undang sebelum ini terlalu lemah sehinggakan ia tidak membawa apa-apa pengertian kepada pelaku kesalahan tersebut, ” tegasnya lagi.

Malah katanya lagi, langkah yang diambil oleh Kementerian Kesihatan adalah sejajar dengan kawasan larangan merokok dibawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017.

“Larangan merokok yang dikuatkuasakan ini juga merupakan salah satu inisiatif kementerian untuk melindungi orang awam dari bahaya asap rokok.

“Selain itu, denda atau kompaun yang telah diputuskan haruslah dikenakan keatas setiap pesalah yang telah disabitkan kesalahan menurut undang-undang yang akan dikuatkuasakan nanti.

“Kementerian Kesihatan boleh mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan negeri-negeri bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang larangan merokok ini menjadi realiti, ” ujarnya.

Sehubungan itu kata Md Rashid lagi, kerajaan juga harus memastikan peraturan penjualan rokok menurut undang-undang serta tidak dijual kepada mereka yang dibawah umur.

Tambahnya, sekiranya terdapat mereka yang melanggar undang-undang termasuk menjual rokok kepada mereka dibawah umur maka, tindakan tegas wajib diambil sebagai satu pengajaran.

“Segala peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan mengenai larangan merokok adalah ketetapan yang positif bagi menjaga kesihatan orang awam.

“Oleh kerana itu menjelang 1 Januari 2019 tidak lama lagi beberapa siri peringatan mengenai denda dan kompaun yang akan dikenakan sudah boleh diwar-warkan melalui media massa.

“Kenaikan harga rokok yang telah dikenakan oleh kerajaan juga merupakan salah satu langkah positif bagi mengurangkan amalan merokok dikalangan rakyat dalam negara ini, ” katanya.