Malaysia Dateline

Jangan harapkan musuh beri harapan kepada kita, kata Presiden AMANAH

Perbezaan pandangan sehingga boleh memusnahkan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh dibiarkan.

Demikian diluahkan oleh Presiden AMANAH, Mohamad Sabu ketika berucap pada Konvensyen AMANAH Pulau Pinang di Bayan Baru, pagi tadi.

Mohamad Sabu bersama pimpinan Pakatan Harapan Pulau Pinang semasa majlis perasmian Konvensyen AMANAH Pulau Pinang

 

Jelas beliau, sekiranya ada sesuatu perkara yang tidak dipersetujui maka ia harus diselesaikan melalui mesyuarat.

“Jangan buat rayuan pada Umno atau Pas, tapi setakat bertemu hendak minum kopi tidak ada masalah.

“Mengharapkan musuh untuk beri harapan pada kita, adalah suatu yang silap dan jangan jumpa musuh diluar PH

“Jika hendak menang sekali lagi, soal perpaduan itu amat penting sekali dan harus diberi keutamaan, ” tegasnya.

Mohamad Sabu menyampaikan sumbangan kepada balu bekas Ketua AMANAH kawasan Batu Kawan, Yusof Hashim yang telah meninggal dunia baru-baru ini.

Malah kata beliau, samada untuk meletakkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri maupun Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, ia juga harus dilaksanakan oleh PH.

Menyentuh mengenai pemilihan dalam pimpinan AMANAH pula beliau menasihatkan supaya tidak ada unsur fitnah dan memburukkan mana-mana calon semata-mata bagi mendapat jawatan.

“Pilihlah atas merit dan kemampuan untuk bangunkan AMANAH dan juga PH.

“Elakkan kempen dan fitnah memburukkan seseorang dan gunakan kedudukan sebaik mungkin bagi membina AMANAH.

“Jangan ada yang cuba perlekehkan orang itu dan ini, ” saran beliau lagi.

Tambah beliau lagi, semua pihak harus muhasabah, apakah yang telah dilaksanakan kini mampu untuk mempertahankan PH dalam pilihan raya umum yang akan datang.

“AMANAH kena tonjolkan konsep ‘Rahmatan Lil Alamin’ adalah sebagai penyelesai kepada segala permasalahan.

“Ia juga kini sedang berkembang dan mendapat sokongan yang amat menggalakkan.

” AMANAH perlu dipertingkatkan dan mencambahkan lagi cawangan-cawangan di seluruh negara, ” gesa beliau lagi.

Hadir sama dalam Konvensyen tersebut ialah Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, Ketua Menteri Pulau Pinang serta pimpinan PKR, Bersatu dan DAP.