Malaysia Dateline

Jangan heret saya jadi kurang ajar, ‘kata dua’ ahli Pas kepada Nik Abduh

Perpecahan dalaman Pas ketika parti itu menjadi kerajaan dilihat semakin memuncak apabila ada ahli parti tersebut bersuara secara terbuka ‘menyekolahkan’ Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.

Penyokong tegar Pas, Ahmad Fahmi Mokhtar mempersoalkan kenyataan terbaharu Ahli Parlimen Bachok itu berhubung kontroversi pengguguran Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Ahmad Fahmi berkata, Nik Abduh tidak wajar membangkitkan keputusan mesyuarat Pas yang diadakan di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur minggu lalu itu di khalayak umum sebaliknya perlu diketengahkan dalam mesyuarat peringkat dalaman.

Dia bahkan mengakui sakit hati apabila membaca tulisan Nik Abduh yang mempersoal kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menolak alasan pengguguran Khairuddin daripada AJK Pas Pusat atas faktor perselisihan antara Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Fahmi yang memberitahu pernah mengundi Nik Abduh di Parlimen Pasir Mas menegaskan dia tidak hairan jika tulisan tersebut datang daripada ahli biasa Pas.

“Namun, apabila ianya datang daripada AJK Pas Pusat dan ahli Parlimen Pas, ianya agak menyakitkan hati saya sebagai ahli Pas yang diajar dengan adab dan akhlak jemaah.

“Apakah YB Ustaz Nik Abduh terlupa yang beliau merupakan AJK Pas Pusat yang dilantik kembali setelah tewas dalam pemilihan Muktamar yang lalu?

“Jika YB Ustaz Nik Abduh tidak dilantik pun, beliau masih ahli parlimen Pas yang tak wajar menulis sedemikian,” katanya kelmarin dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu, Nik Abduh menegaskan Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi adalah pemimpin Pas yang amat kuat menyokong usaha-usaha bagi memulihkan hubungan Pas dan Umno dalam Muafakat Nasional (MN)yang, katanya, “semakin suram cahayanya.”

Nik Abduh berkata, pengguguran Khairuddin mesti bersebab dan penjelasan harus diberikan kepada umum bukan hanya kepada ahli parti sahaja.

Ahmad Fahmi Mokhtar

Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi dalam tulisannya bertajuk, “Teguran Murni Buat YB Ustaz Nik Abduh” itu berkata, dia juga ingin menegur Nik Abduh dalam lapangan awam memandangkan anak Almarhum Nik Aziz itu telah terlebih dahulu berbuat demikian.

“Sebagai AJK Pas Pusat Lantikan dan Ahli Parlimen Pas sewajarnya saranan yang dibuat YB perlulah dibawa dalam mesyuarat dalaman. Buat desakan dalam mesyuarat tersebut.

“Jika boleh saya cadangan, YB Ustaz Nik Abduh bolehlah menyatakan sebegini, “Saya mendesak YB Tan Sri Presiden atau YB Dato Seri SUA mengemukakan alasan kepada awam berkenaan pengguguran YB At-Takiri”.

“Kalian bincanglah dalam mesyuarat perkara ini. Jika keputusan menerima maka buatlah, jika keputusan kata tidak, maka terimalah. Inilah ajaran syura, ‘kan?” bidasnya.

Kurang ajar

Dalam masa sama, Ahmad Fahmi turut menyifatkan Nik Abduh seolah-olah ingin memanaskan lagi isu pengguguran Khairuddin yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas itu.

“Ingat kami kisah sangat, yang lebih utama bagi kami adalah keteguhan parti dan keputusan parti yang mesti dipatuhi.

“Saya tiada masalah dengan semua pimpinan malah saya hormati semuanya sama ada YB (Nik Abduh) sendiri, mahupun YB At-Takiri ataupun YB Taki sebagai pimpinan saya.

“Namun, apabila YB Ustaz Nik Abduh menunjukkan akhlak sebegini, amatlah mendukacitakan saya. Jangan heret saya menjadi kurang ajar kepada orang yang saya hormati. Tolonglah YB,” tegasnya lagi.

Nik Abduh yang dalam tulisannya kelmarin juga mengaku sebagai sahabat rapat Khairuddin.

Menurutnya, penjelasan rasmi berhubung sebab pengguguran Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus itu harus diberikan segera bagi membina persepsi yang baik kepada Pas.

“Apabila seorang orang besar parti mencabar beliau (Khairuddin) agar menyatakan alasan pengguguran, maka ia adalah buruk dan teruk. Macam tercabar, lalu marah dan tunjuk ‘bekeng’.

“Logiknya Dato Khairuddinlah yang patut mencabar sebab beliaulah yang patut rasa tercabar atau marah kerana telah digugurkan dengan alasan disiplin jamaah yang masih belum diketahuinya secara rasmi sebagaimana telah dijelaskan dalam mesyuarat Pas Pusat,” hujah Nik Abduh lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi yang difahamkan penyokong kem Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berharap isu tersebut dapat ditangani.

“Semoga kekeruhan yang nipis ini dapat diharmonikan dalam mesyuarat nanti agar saya sebagai ahli tidak serabut perut dengan akhlak sebegini,” tambah Ahmad Fahmi lagi.