Jangan hidupkan PPSMI, seru Teras

Jangan hidupkan PPSMI, seru Teras

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menggesa agar usaha bagi menghidupkan kembali Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ( PPSMI) yang telah dimansuhkan pada tahun 2009 dan dihentikan pada 2012 tidak diteruskan lagi.

Menurut Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, kerajaan telah pun menerima kajian emperika sebelum ini yang membuktikan PPSMI telah membeeri kesan negatif kepada prestasi pelajar khususnya pelajar Melayu.

“Dalam kajian TIMMS dan PISA mengenai prestasi subjek Sains dan Matematik dikalangan pelajar membuktikan ianya merudum jatuh dibawah standard dunia apabila PPSMI dilaksanakan.

“Malah tatkala PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012, ternyata kajian tersebut menunjukkan prestasi pelajar kembali meningkat.

“Manakala kesan PPSMI tersebut ternyata memberi impak kepada kualiti pelajar yang melanjutkan pelajar ke peringkat universiti, ” jelasnya.

Tegasnya lagi, pihak universiti terpaksa mengambil pelajar yang berprestasi rendah dalam subjek Sains dan Matematik bagi kursus aliran Sains yang kekurangan pelajar.

Akibatnya kata beliau, ramai yang gagal pada tahun pertama dan memberi kesan kepada kualiti pelajar yang gugur dalam kursus Sains dan Teknologi.

“Justeru itu Teras berpandangan, sekiranya PPSMI yang telah menelan belanja berbilion ringgit untuk perlaksanaannya diteruskan, maka ia akan berlawanan dengan bukti ilmiah yang menunjukkan PPSMI tidak membantu memajukan prestasi pelajar, sebaliknya ia telah ditolak oleh majoriti masyarakat.

“Maka itu kerajaan Pakatan Harapan diharapkan kekal dengan keputusan pemansuhan PPSMI agar masa depan negara tidak digadai dengan anggapan Bahasa Inggeris saja satu-satunya bahasa yang boleh memajukan negara.

“Kami mengulangi pendirian bahawa kaedah pengajaran Bahasa Inggeris perlu disesuaikan dengan keadaan di dalam negara dan bukannya dengan kaedah asing yang tidak sesuai, ” ujarnya.

Tambah beliau, Bahasa Kebangsaan berdasarkan pemuafakatan dalam Perlembagaan negara perlu didaulatkan sepenuhnya dalam semua aspek