Malaysia Dateline

Jangan ikut agamawan dan golongan kayangan ambil mudah keganasan Covid-19

Rakyat dinasihatkan supaya tidak sesekali mengambil mudah atau ‘underestimate’ kemampuan dan keganasan virus Covid-19 kerana apabila virus ini ‘mengamuk’ ia tidak mengenal umur, komorbiditi penyakit mahupun yang sihat walafiat.

Ini dapat dilihat dari apa yang berlaku di India apabila seramai 1,500 orang maut dalam sehari dan ianya bukanlah satu perkara biasa walaupun perdana menterinya bersama menteri kesihatan telah pun mengisytiharkan kemenangan melawan Covid-19.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria, program vaksin kebangsaan perlu dipercepatkan dan disempurnakan dalam tempoh dua tahun dan ianya adalah waktu yang sangat baik.

“Sebagai pengamal perubatan, saya menggalakkan pengambilan vaksin yang mempunyai profail keselamatan piawaian yang tinggi dan ia harus dipercepatkan. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil mudah keganasan virus tersebut.

“Sebenarnya jangkitan Covid-19 kini menjangkiti semua peringkat umur termasuk yang sihat mahupun yang mempunyai komorboditi penyakit.

“Kepada semua rakyat Malaysia, jangan merasa letih, lelah, dan bosan dengan SOP pandemik Covid-19 meskipun agamawan, politikus, dan selebriti kayangan melanggar dengan mudah SOP Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya yang juga merupakan Pakar Perubatan Kanak-Kanak.

Tegasnya, golongan marhaen harus terus istiqamah bersungguh-sungguh menjaga SOP tanpa menurut jejak agamawan, politikus dan selebriti yang melanggar SOP supaya negara tidak akan menjadi seperti apa yang berlaku di India dan Itali.