Jangan ingat piagam Pas-Umno sudah kuasai sokongan Melayu, kata penganalisis

Jangan ingat piagam Pas-Umno sudah kuasai sokongan Melayu, kata penganalisis

Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai Umno-Pas dalam Himpunan Penyatuan Ummah semalam, masih belum cukup untuk memberi gambaran kedua parti itu telah menguasai sokongan Melayu Islam dan Bumiputera.

Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Azmi Hassan, berkata ini kerana permeteraian piagam dianggap sebagai satu ikatan di mana kandungannya adalah ‘longgar’ dan subjektif.

Sambil menyifatkan tidak kesemua ahli kedua-dua parti bersetuju dengan penyatuan tersebut, Azmi berkata, piagam tersebut secara asasnya masih belum dianggap sebagai titik nokhtah kepada perpaduan.

“Bagi saya, hanya pembentukan objektif dan strategi akan menjadi penentu sama ada ia mampu menyatu padu Melayu Islam dan Bumiputera bukan sahaja untuk menghadapi PRU15 tetapi untuk jangka panjang melewati PRU tersebut.

“Sebab itu saya berpendapat piagam masih belum mencukupi ataupun belum boleh dianggap sebagai titik noktah kepada perpaduan.

“Perlu ditekankan, bukan 100 peratus ahli mereka (Umno-Pas) menyokong penyatuan tersebut dan juga belum diketahui reaksi pengundi Melayu yang bukan ahli parti.

“Jadi, Bersatu dan AMANAH perlu buktikan bahawa agenda Islam dan Melayu akan menjadi lebih selamat melalui PH berbanding Umno dan Pas,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau berkata demikian yang menjawab persoalan sama ada penyatuan dua parti pembangkang dalam piagam yang ditandatangani mereka, bakal mendapat sokongan Melayu Islam dan Bumiputera pada PRU akan datang.

Sementara itu, Azmi tidak menolak kemungkinan penyatuan parti pembangkang itu bakal memberi tekanan kepada PH, terutama untuk Bersatu dan AMANAH yang ditugaskan untuk meraih sokongan orang Melayu.

Beliau berkata, senario ahli dan kumpulan yang bersimpati terhadap Umno dan Pas bukan sahaja bakal menggugat PH sebagai parti politik, malah juga sebagai sebuah kerajaan.

Jelasnya, jika penyatuan tersebut mampu menarik kumpulan yang tidak terikat dengan ideologi politik seperti Umno dan Pas, maka PH sudah perlu lakukan sesuatu demi menongkah sokongan dari pengundi Melayu.

“Jika ditinjau dengan berbekal piagam sahaja, kedua-dua parti sudah berjaya mengumpul ahli atau kumpulan yang bersimpati sama ada dengan Umno atau Pas yang selama ini berseteru.

“Sebab itu kritikal bagi Bersatu dan AMANAH yang menjadi tunggak PH untuk menarik pengundi Melayu, dan menjadi tempat bergantung kepada kumpulan yang dianggap berada di awangan kerana tidak mempunyai organisasi politik untuk berteduh.

“Ada yang berpendapat PH tidak perlu mengambil tindakan dari peristiwa penyatuan ini tetapi bagi saya PH perlu lakukan tindakan susulan terutama Bersatu dan AMANAH supaya tidak ketinggalan terlalu jauh menarik sokongan Melayu,” katanya.

Azmi turut berkata, kerajaan tidak seharusnya bersifat reaktif, dengan cubaan meremehkan pihak lawan dan mengeluarkan kenyataan remeh yang sepatutnya tidak berlaku bagi kedua-dua belah pihak yang berseteru.

Katanya, kiasan sedemikian walaupun dianggap sebagai asam garam politik sepatutnya dihindar.