Malaysia Dateline

Jangan izinkan kelompok pengkhianat, ‘tikam’ parti muncul kembali, tegas Anwar

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak mahu parti itu kembali dibelenggu dengan “kelompok pengkhianat” dalaman yang memecah-belahkan PKR sebelum ini.

“Saya sebut ini ada kaitan dengan apa yang diperhatikan dan sampai kepada saya.

“Jangan izinkan ia (kelompok pengkhianat) muncul baik dari kekuatan pemimpin, kerajaan negeri atau (benarkan) tokoh-tokoh untuk bina kelompok kecil yang memungkinkan kelompok yang kita alami dulu,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika merasmikan Kongres Nasional PKR ke-15 yang berlangsung secara maya sepenuhnya hari ini ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 masih berkuat kuasa.

Menurut Ketua Pembangkang itu, beliau mengimbau kembali pengkhianatan lalu kerana tidak mahu episod tikam-menikam kembali berulang dalam kalangan saf parti.

“(Kelompok pengkhianat) kemudian akan menikam parti kerana ketaatan mereka itu terhadap kelompok yang menjaga mereka dan dibiaya untuk perkuat kedudukan mereka bukan bersandarkan kepada parti dan perjuangan,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menggesa akar umbi dan semua peringkat pimpinan PKR kembali menggilap idealisme perjuangan dengan menolak rasuah dan salah guna kuasa yang pernah membelenggu PKR.

“Sejarah kita juga tak lepas dari pengkhianatan. Sejarah kita juga ada bibit-bibit apabila pemimpin itu diberi sedikit kuasa, (mereka) mengumpul kekayaan luar biasa.

“Dalam PKR juga ada suaranya bila bercakap berdegar-degar tetapi bila diberi kuasa dia korup.

“Ini harus diberi peringatan kepada kita bukan saja pimpinan tetapi saki baki penyokong yang terpalit kerana pada masa itu kabur dan tak dapat melihat kerana ukurannya adalah curahan wang itu,” katanya lagi.

Lebih 2,000 perwakilan mengambil bahagian dalam kongres tersebut melalui aplikasi Zoom.