Malaysia Dateline

Jangan izinkan lagi oligarki politik sabotaj pembangunan negara

Pada setiap pembentangan Rancangan Pembangunan Negara seperti Rancangan Malaysia atau RMK (1-11) Rangka Rancangan Jangka Panjang (1-3) (RRJP), termasuk Wawasan 2020, Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Wawasan Negara termasuk Model Ekonomi Baru, ramai yang teruja.

Amat diharapkan akan dapat membawa kemakmuran serta kesejahteraan rakyat dan kemajuan pembangunan negara. Hari ini keterujaan itu tidaklah seperti dahulu.

Begitu juga RMK-12 ini disusun rapi dan menyeluruh secara amnya. Aspek-aspek kelemahan RMK-11, telah cuba digarap dalam RMK-12 ini, meskipun tidak ada rancangan di segi satu ‘Road-Map’ yang mempunyai time-line dan perincian. Mungkin perlu dicerakin dalam ‘blueprint’ berasingan atau rang undang-undang perbekalan atau belanjawaan setiap tahun.

Pun begitu, setelah enam dekad kita berusaha dan memacu untuk mencapai status negara maju dan rakyat yang berpendapatan tinggi, cita-cita murni ini masih belum mampu digapai.

Hakikatnya negara ini telah dibelenggu dengan ‘perangkap pendapatan pertengahan’ atau ‘middle-income trap’ yang melepasi dua dekad lamanya. Kita gagal untuk melangkah ke liga ‘negara maju’ sekaligus menjadi calon ‘the 5th Tiger of Asia’.

Mutakhir, menjana pertumbuhan ekonomi semakin lebih rumit dan sukar hatta untuk kita jana kembali kedudukan prestasi pertumbuhan pra-pandemik. Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri menurunkan ramalan pertumbuhan negara ini kepada paras 3%-4% KDNK untuk 2021.

Tidak segala boleh kita persalahkan kepada pandemik Covid-19 atau kegagalan mengurus pandemik ini, khasnya PKP2.0 dan PKP3.0, yang meninggalkan ‘parut ekonomi’ atau ‘economic scarring’ yang tidak mudah dipulihkan.

Bagi saya, krisis politik dan kegagalan demokrasi berparlimen itu juga penting, bahkan lebih kritikal dalam menjerumuskan negara ke kancak kemelut ekonomi dan derita rakyat yang lebih parah. Ingat, berapa lama Parlimen digantung dan negara dalam Ordinan Darurat. Kesannya bukan kepalang.

Dalam pelaksanaan RMK-12 nanti, bukan sahaja faktor tadbir urus atau governan pelaksanaan projek-projek mesti ditangai dengan kompeten, cekap dan bebas rasuah serta ketirisan.

Lebih mustahak sebuah kerajaan yang dimandat dan dipilih rakyat, mesti diizinkan mentadbir negara untuk selama lima tahun. Mereka jangan diganggu-gugat oleh apa jua rencana atau makar jahat Ahli-Ahli Parlimen atau pimpinan parti-parti dalam koalisi kerajaan dengan membuat tindakan ‘melompat’ atau ‘sabotaj’ kerajaan, sekaligus menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat.

Perbuatan ini adalah amat khianat kepada rakyat dan negara. Contoh jelas adalah Langkah Sheraton atau Langkah Sabah dan rencana menjatuhkan empat buah kerajaan negeri.

Justeru, mesikpun perkara ini tidak ada disebut dalam RMK-12, saya kira amat mustahak kesemua 220 Ahli Parlimen Malaysia, yang diangkat dan dililih rakyat membuat satu komitmen dan azam bersama, untuk meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti bersekali dengan RUU ‘Recall Election’.

Inilah yang menjadi tujuan terpenting dan teras ‘Memorandum Persefahaman’ (MoU) di antara kerajaan dan pembangkang, ke arah kestabilan dan reformasi negara. Persefahaman selainnya, buat saya adalah bonus untuk pengukuhan demokrasi dan kesejahteraan rakyat.

Inilah penentu Reformasi Politik yang mesti dan wajib dijayakan oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang, secara ‘dwi-partisan’. Hanya jalan ini akan dapat menangani secara tuntas serangan terhadap demokrasi berparlimen atau ‘the Assault on Parliamentary Democracy’ olih oligarki politik yang bekerjasama dengan ahli-ahli parlimen untuk menumbang kerajaan atau ‘the Government of the day’.

Saya tegaskan buat kesekian kalinya, MoU ini bukan dimeterai untuk kepentingan politik mana-mana peribadi atau pihak kerajaan atau pembangkang. Kalau ia memberi kelebihan kepada sesiapa tertentu termasuk PM kesembilan, itu adalah secara berkebetulan.

Justeru dengan memeterai Memorandum Persefahaman ini yang bertujuan mengangkat dan memaknakan sebenar-benarnya “Kedaulatan dan Mandat Rakyat”, tidak lagi boleh dipertaruhkan dan diperjudikan oleh kepentingan penguasa dan oligarki politik yang bersekongkol dengan Ahli-Ahli Parlimen, untuk menjatuhkan kerajaan yang dinobatkan rakyat.

Buat saya, seperti yang dilaporkan oleh hampir semua ‘Research Houses’, contohnya Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC), faktor kestabilan politik adalah kritikal untuk memacu pertumbuhan yang mapan, dinamis dan rancak.

Sebagai contoh, Malaysia telah kehilangan peluang pelaburan langsung asing (FDI) kerana ketidakstabilan politik mutakhir ini. FDI yang terlepas, dikatakan berbaris atau membuat ‘beeline’ dan beralih ke negara-negara jiran. Tegasnya, perbuatan oligarki politik ini telah akhirnya mensabotaj agenda serta program pembangunan negara.

Saya ulangi, jangan bermudah membuat ramalan-ramalan muluk yang terlalu optimis seumpama pendapatan isirumah rakyat Malaysia akan meningkat ke paras RM10,000 sebulan dalam tahun 2025.
Sangat mustahak untuk tahu bagaimana menjana ekonomi berprestasi tinggi serta menjayakan cita-cita RMK-12 ini. Pastinya, antara lain adalah kepimpinan negara yang kompeten dan berintegriti.

Apakah ‘The 5th Asian Tiger’ akan akhirnya bangkit dan mengaum, dengan perlaksanaan RMK-12 ini, dalam jangka waktu 5 tahun kedepan ini?

Sememang diakui agak optimistik, namun mustahak untuk sama-sama kita jayakan dengan pendekatan ‘Whole of Nation Approach’ – ‘Penggemblengan Seluruh Negara’ dengan semua pihak dan pemegang taruh atau kepentingan (stakeholders) memainkan peranan dalam kapasiti serta bidang dan sektor masing-masing, dengan bersungguh serta penuh berkeamanahan.

Semoga Sukses dan Barakah. Amin.

*DATUK SERI DR DZULKEFLY AHMAD merupakan Ahli Parlimen Kuala Selangor dan bekas Menteri Kesihatan. Artikel di atas adalah kesimpulan ucapannya pada 29 September lalu yang beliau tulis kembali.