Jangan izinkan pemikiran politik kebencian bertapak, pesan Mahfuz

Jangan izinkan pemikiran politik kebencian bertapak, pesan Mahfuz

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan politik kebencian dalam masyarakat menjadi cabaran utama yang boleh menganggu kelancaran kerajaan melaksanakan yang terbaik untuk rakyat.

Timbalan Menteri Sumber Manusia itu berkata, politik kebencian yang ditanam akhirnya boleh mengheret pertembungan kaum dan agama.

“Kita patut bersyukur, hari ini Malaysia di kedudukan ketiga di Asia dari segi keamanan. Kita juga ke-16 terbaik di dunia.

“Oleh sebab itu, kita tidak boleh mengizinkan pemikiran kita dirosakkan oleh kebencian sesama agama mahupun antara kaum dan agama.

“Orang Melayu tidak boleh meletakkan segala masalah yang dihadapi disebabkan orang lain. Orang India dan Cina pun sama,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam Ceramah Isu Semasa di perkarangan rumah Pak Mahat di DUN Merlimau, Melaka malam tadi.

Menurutnya, negara boleh menjadi huru-hara sekiranya pemikiran politik kebencian bertapak.

“Jangan nanti kita hanya menanti sukarelawan (kemanusiaan) dari luar. Politik kebencian mesti ditolak oleh rakyat Malaysia. Masing-masing kita membantu.
“Walau ada perbezaan politik, hidup dalam keadaan aman dan saling membantu. Keluarga yang berjaya membantu keluarga tidak berjaya,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, Mahfuz mengajak semua rakyat merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan bagi memajukan diri.

“Takkan kita mahu salahkan orang lain yang kaya? Mari kitah hidup sebagai seorang warganegara yang cinta kepada tanah air ini.

“Kita semua patut rebut rezeki ambil kesempatan dan peluang kerana rezeki anugerah Allah tidak pernah luak.

“Di kementerian saya, ada geran peralatan untuk OKU (Orang Kelainan Upaya) yang berniaga dengan nilai maksimum RM100,000.

“Syaratnya dia ada syarikat berdaftar dan telah pun menjalankan perniagaan tiga bulan,” jelas Ahli Parlimen Pokok Sena, Kedah itu lagi.