Jangan izinkan rasisme tewaskan perpaduan rakyat Malaysia

Jangan izinkan rasisme tewaskan perpaduan rakyat Malaysia

Parti Amanah Negara (AMANAH) menyeru semua rakyat di negara ini supaya tidak mengizinkan rasisme menewaskan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Setiausaha Agungnya, Haji Mohd Anuar Tahir berkata, AMANAH mengikuti secara dekat dan teliti beberapa isu yang melanda negara kebelakangan ini.

“Tidak dinafikan, Malaysia yang kita cintai sedang berhadapan dengan krisis yang berisiko menghancurkan keutuhan perpaduan jika tidak ditangani dengan berkesan.

“Isu-isu yang amat menguji keutuhan perpaduan dan kemajmukan seperti pelaksanaan pelajaran tulisan Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), penghinaan melampau terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Dr Zakir Naik telah dijadikan alat propaganda oleh segelintir pihak yang ingin melihat rakyat berbagai bangsa dan agama bercakaran dan berdendam antara satu sama lain.

“Kemelut ini pula melanda tatkala kita semakin hampir kepada detik 31 Ogos yang menjadi tarikh keramat kepada Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat serta merdeka dari cengkaman penjajahan,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Ujar beliau, AMANAH menyeru seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama dari Perlis hingga ke Sabah supaya menjadikan krisis yang berlaku sebagai pintu untuk kita saling memahami erti toleransi, kemajmukan dan perpaduan yang menjadi identiti unik Malaysia selama ini.

Katanya, negara pernah berhadapan dengan peristiwa 13 Mei. Walaupun peristiwa hitam itu telah dilalui dengan cemerlang di atas semangat perpaduan dan kebijaksanaan dasar kerajaan terdahulu tetapi tidak mustahil tragedi tersebut boleh berulang jika rakyat tewas kepada propaganda perkauman dan keagamaan.

“AMANAH ingin menegaskan bahawa musuh sebenar rakyat Malaysia bukanlah mereka yang berbeza warna kulit, pegangan agama dan bangsa. Sebaliknya, musuh kita bersama adalah individu dan kumpulan tertentu yang menjadikan isu-isu perkauman dan keagamaan untuk kepentingan sempit mereka.

“Pembentukan konsep ‘Malaysia Baharu’ selepas 9 Mei wajar menjadi cerminan kepada wajah rakyat yang cintakan kedamaian, keamanan dan menghargai erti kepelbagaian dalam negara ini.

“Marilah kita bersama-sama kembali kepada perpaduan yang tulen. Hanya dengan bersilaturahim dengan ikhlas boleh menghapuskan prejudis,” kata Timbalan Menteri Kerja Raya itu.