Jangan jadi munafik, kata Azmin kepada Shamsul

Jangan jadi munafik, kata Azmin kepada Shamsul

 

“Jangan jadi munafik,” demikian jawapan ringkas Menteri Hal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini, selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memberi jawapan sedemikian sebagai merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang menyeru pemimpin yang dikaitkan dengan tuduhan salah laku ‘bercuti sementara’ sehingga siasatan selesai.

Shamsul Iskandar Mohd Akin

Terdahulu, Shamsul berkata, perkara itu (berehat sementara) penting bagi menunjukkan kepada masyarakat bahawa pemimpin-pemimpin berkenaan tidak cuba berselindung di sebalik jawatan tinggi atau kedudukan dalam parti, apatah lagi di belakang Perdana Menteri sebagai perisai.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador memaklumkan, dalang di sebalik pembikinan dan penyebaran video seks yang dikaitkan dengan seorang mirip menteri telah dikenal pasti.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut berkenaan dalang itu, beliau berkata pihaknya telah mempunyai ‘bayangan’ dalang yang terlibat kes itu, dan telah membuat beberapa tangkapan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Siasatan kes ini tertumpu kepada dua siasatan, iaitu kami menyiasat mereka yang terlibat dalam pembikinan video itu, dan mereka yang menyebarkan video berkenaan.

“Dalam kes ini, kami kesan terdapat konspirasi dan pakatan pihak tertentu dalam pembikinan dan penyebaran video seks yang dikaitkan seorang menteri, untuk menjatuhkan seseorang,” katanya.