‘Jangan jadikan agensi kerajaan seperti tong sampah’

‘Jangan jadikan agensi kerajaan seperti tong sampah’

Parti Amanah Negara (Amanah) menyeru agensi-agensi kerajaan yang menjaga kepentingan rakyat tidak dijadikan “tong sampah” dengan menempatkan individu yang tidak mempunyai kelayakan.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, mereka yang tidak memiliki integriti, kepakaran dan kelayakan sebaliknya hanya mahu menyambung talian hayat politik mereka tidak seharusnya dikitar semula.

“Hentikanlah amalan melantik mereka yang telah terpilih sebagai ahli parlimen, bekas-bekas menteri dan menteri besar yang semata-mata bertujuan membalas hutang budi dan kekecewaan tidak terpilih lagi sebagai wakil rakyat dan anggota kabinet,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru katanya, iltizam Amanah dan Pakatan Harapan jika diberi mandat mentadbir negara adalah memastikan agensi-agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Lembaga Tabung Haji dan lain-lain daripada penguasaan orang politik.

Malah beliau menamakan beberapa individu yang diyakini dapat menerajui agensi-agensi iniberdasarkan kecemerlangan mereka dalam bidang masing-masing.

“Tidak keterlaluan jika saya namakan seorang dua tokoh yang saya fikir sangat berkemampuan untuk menerajui agensi ini.

“Mereka adalah Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan juga Tan Sri Datuk Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

“Kedua-dua sosok ini telah mencurahkan jasa besar kepada negara dan telah memperlihatkan kemampuan dan integriti mereka sebelum ini,” katanya.

TAGS