Malaysia Dateline

Jangan jadikan bolasepak mangsa politik, pinta KLFA kepada DBKL

Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abd Samad memohon agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kekal menaja pasukan KLFA dan tidak mempolitk sukan bolasepak.

Dalam sidang medianya di Shah Alam, Khalid berkata, para penyokong bolasepak di Kuala Lumpur sangat berharap DBKL terus membantu menaikkan semula imej bolasepak di ibukota.

“DBKL telah bersetuju untuk menaja KLFA pada hujung tahun lepas untuk musim ini, dan telah menerima sumbangan dari DBKL tetapi belum sepenuhnya untuk tahun ini.

“Kita berharap perubahan kerajaan tidak menyebabkan DBKL menarik balik sokongan itu kerana kita tahu warga KL berbangga dengan pasukan KLFA dan berharap KLFA kembali ke Liga Super,” kata Khalid, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Menurut beliau, sokongan dari DBKL amat diperlukan untuk mempastikan cita-cita penyokong agar KLFA masuk semula ke Liga Super tahun depan menjadi kenyataan.

“Kita harap DBKL menunaikan janjinya supaya soal pembiayaan KLFA itu tidak akan terabai semata-mata kerana perubahan kerajaan.

“Kita berharap Menteri Wilayah Persekutuan pun, yang katanya peminat bolasepak juga, tidak menjadi penghalang kepada pasukan KLFA untuk mencapai cita-citanya untuk tamat musim ini sebagai juara Liga Perdana dan melayakkan diri ke Liga Super musim depan,” kata Ahli Parlimen Shah Alam dalam sidang medianya.

Beliau juga menawarkan kepada Tan Sri Annuar Musa untuk menjadi Presiden KLFA di musim depan jika beliau sudi.

“Jika Menteri Wilayah minat untuk menjadi Presiden (musim depan), silakan. Tetapi untuk musim ini biarlah apa yang telah dirancang untuk menjadi juara Liga Perdana tercapai dengan sokongan DBKL.

“Kita harap sumbangan yang belum diberikan oleh DBKL itu tidak disekat atas sebab politik supaya prestasi KLFA dengan para pemain yang telah diambil dikekalkan kerana kita belum kalah lagi setakat ini,” kata Khalid.