Malaysia Dateline

Jangan jadikan COVID-19 alasan lengahkan Undi 18

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang mengambil maklum mengenai pandemik Covid-19 yang melanda negara serta dunia, namun begitu ia bukannya alasan untuk terus melengahkan proses melaksanakan undi 18 tahun ini.

Menurut Pemangku Pengerusi PKR Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melewatkan pendaftaran undi 18 setelah diluluskan oleh Parlimen pada September 2019 akan membantutkan proses demokrasi negara.

“Sekiranya pilihan raya berlaku dalam tempoh terdekat maka pengundi berusia 18 hingga 20 tahun yang berjumlah 1.2 juta tidak akan dapat bersama dalam proses demokrasi negara bagi menentukan kerajaan pilihan sedangkan ia telah diluluskan oleh majoriti dua pertiga Ahli Parlimen di Dewan Negara.

“PKR Pulau Pinang berharap SPR dapat memastikan pengundi 21 tahun keatas berjumlah 4.4 juta orang yang belum berdaftar supaya dapat didaftarkan sekali dalam sistem pendaftaran secara automatik kali ini.

” Sehubungan itu, SPR harus bertanggungjawab sepenuhnya untuk memperakui dan melaksanakan keputusan oleh badan legislatif tertinggi negara agar pendaftaran secara automatik pengundi 18 dan 21 tahun yang layak tetapi belum berdaftar dipercepatkan proses pendaftarannya, ” tegas beliau dalam satu kenyataan.