Malaysia Dateline

Jangan jadikan isu agama dan kaum, dominan dalam laporan media

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa meminta agar pihak media tidak memberi ruang kepada isu agama dan kaum menjadi dominan dalam laporan mereka.

Beliau berkata walaupun pihak media perlu menarik pembaca untuk meneruskan kewujudan mereka, namun mereka juga perlu bertanggungjawab dan adil kepada kerajaan untuk membangunkan negara.

Dr Mujahid menyantuni media yang hadir pada Majlis Makan Malam bersama Media di sebuah hotel di Putrajaya.

“Pentadbiran Islam banyak diserang dengan isu-isu agama dan kaum sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pentadbiran negara,” katanya semasa berucap pada majlis makan malam bersama media, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Mokhtar Hussain.

Mujahid berkata media cetak juga perlu memainkan peranan dalam menangani penyebaran berita-berita palsu mengenai dasar-dasar kerajaan yang disebarkan melalui media sosial.

Wakil media daripada TV3 merangkul hadiah utama cabutan bertuah berupa pakej percutian bernilai RM5,000 yang ditaja oleh Tabung Haji.

“Media sosial letak satu tajuk yang konteksnya amat berbeza, orang takkan baca yang bawah itu (isi) orang baca tajuk sahaja dan susah untuk kita perbetulkan. Di sinilah media arus perdana boleh memainkan peranan untuk memperbetulkannya,” katanya

Dalam pada itu, Mokhtar dalam ucapannya berkata, jalinan kerjasama antara pihak media dan agensi-agensi kerajaan sangat penting, bukan sahaja dalam menyampaikan maklumat tetapi juga mendapatkan maklum balas daripada masyarakat umum.

Katanya pihak media juga sedia bekerjasama dengan kerajaan dalam menangani isu-isu semasa seperti penyebaran berita palsu.

“Ini menjadikan peranan media lebih mencabar kerana hanya media konvensional yang boleh melakukan verifikasi fakta dan maklumat dalam usaha kita menangkis penyebaran maklumat palsu,” katanya.