Malaysia Dateline

‘Jangan jadikan jawatan pesuruhjaya Suhakam sebagai hanya ghanimah perang’

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengingatkan supaya jawatan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) tidak harus dijadikan sebagai hanya ghanimah perang.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) itu berkata, pelantikan beberapa pemimpin Umno sebagai anggota pesuruhjaya Suhakam yang baharu bagi sesi 2022 hingga 2025 sebagai pelantikan tanpa merit.

Menurutnya, Timbalan Ketua Umno Bahagian Selayan Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican dan Ketua Wanita Umno Kulim Bandar Baharu, Nazira Abdul Rahim yang merupakan antara anggota pesuruhjaya Suhakam tidak pernah dikenal mempunyai pengalaman praktikal dalam hak asasi manusia.

Oleh itu, jelas Salahuddin, pelantikan mereka dibimbangi akan menjejaskan integriti Suhakam sebagai sebuah badan berkanun yang diamanahkan untuk menasihati kerajaan Malaysia dalam merumuskan perundangan, arahan dan tatacara pentadbiran agar selari dengan prinsip hak asasi manusia.

“Komposisi barisan Pesuruhjaya yang baru juga tidak mencerminkan kepelbagaian latar belakang sebagaimana yang diperuntukkan oleh Akta Suhakam 1999.

“Sekiranya Perdana Menteri benar-benar jujur dan mahu mempertahankan hak asasi manusia, kenapa tidak dilantik juga Pesuruhjaya dari kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU), Orang Asli serta bilangan yang seimbang di antara kaum serta umur?

“Jangan jadikan jawatan Pesuruhjaya SUHAKAM sebagai hanya ghanimah perang kepada ahli akademik, peguam dan tokoh masyarakat yang menyokong dan mesra kerajaan tanpa melihat kepada merit mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan pakar perundangan dan hak asasi manusia dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad sebagai Pengerusi Suhakam untuk tempoh tiga tahun.

Selain Hasnal Rezua Merican dan Nazira, turut dilantik sebagai anggota Suhakam ialah Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, Dr Chew Chee Ming (Sarawak), Datuk [email protected] Robert (Sabah) dan Ragunath Kesavan.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Naib Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata, pelantikan Pesuruhjaya Suhakam haruslah telus, inklusif dan hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar faham dan mempunyai pengalaman praktikal tentang hak asasi manusia.

“Pelantikan sambil lewa ini mesti dinilai semula sebelum ia terus mencemarkan status Suhakam sebagai sebuah institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan berstatus ‘A’ dan memalukan Malaysia yang merupakan negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” tegasnya lagi.

Baca juga Kusutnya pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM

Baca juga Azam Baki luah rasa syukur Suruhanjaya Sekuriti bersihkan namanya