Malaysia Dateline

Jangan jadikan kebebasan berniaga kotor, sesakkan bandaraya

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa perlu memastikan dasar baharu kerajaan yang membenarkan sesiapa sahaja berniaga dan di mana-mana tempat sekalipun, tidak akan disalahguna serta menyumbang kepada masalah kebersihan dan kesesakan di bandar.

Menerusi kenyataan bersama oleh sembilan ahli Parlimen Kuala Lumpur (KL), aspek keselamatan ditegaskan untuk menjadi pertimbangan utama dalam pelaksanaan dasar tersebut.

Mereka berkata, untuk menjadi mesra perniagaan, Menteri Wilayah seharusnya memudahkan permohonan lesen bukan hanya untuk penjaja tetapi juga lain-lain perniagaan.

“Pandemik ini telah memaksa penutupan lebih 30,000 industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara.

“Sudah 16 hari berlalu sejak kenyataan terakhir kami dan Menteri WP masih belum memanggil pertemuan dengan semua ahli Parlimen KL.

“Pertemuan ini sangat penting untuk perancangan dan perbelanjaan Belanjawan DBKL 2021, yang mana akan memberi kesan besar kepada kebajikan dan kesejahteraan warga KL,” katanya.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Dr Tan Yee Kew.

Lain, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran; dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Bulan lalu, Ahli-ahli Parlimen KL menyatakan hasrat bertemu Menteri Wilayah Persekutuan bagi membincangkan tentang isu pentadbiran.

Menurutnya, Annuar belum lagi bertemu mereka sejak menyandang jawatan tersebut Mac lalu walaupun permohonan telah dibuat pada sidang Parlimen lalu.

Pada semalam pula, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai di sekitar bandar raya mulai Ahad ini.

Annuar berkata, bagaimanapun peniaga perlu memohon lesen perniagaan sementara yang sah selama enam bulan di laman web DBKL yang ditawarkan secara percuma.

Katanya, perbincangan dengan majlis perwakilan penduduk di ibu negara juga telah diadakan agar pihak berkenaan memberi kerjasama dengan melakukan pemantauan di peringkat komuniti.