Malaysia Dateline

Jangan jadikan Malaysia macam Myanmar

Tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) jangan jadikan Malaysia seumpama kerajaan Myanmar apabila menggubal undang-undang baru menyekat berita palsu.

“Kerajaan PN jangan jadikan Malaysia macam Myanmar,” kata Kadir mengulas penguatkuasa akta baru bagi melawan berita palsu mula semalam.

Bagi beliau, kerajaan tidak wajar membuat undang-undang untuk menyekat penyebaran berita palsu yang baru.

Ini kerana, kata beliau, akta yang ada sudah lebih daripada memadai untuk menangani berita seumpama itu.

“Undang-undang berita palsu untuk sekat rakyat bincang janji-janji palsu,” kata beliau.

Kadir bimbang, akta baru ini akan menjadikan Malaysia seumpama Myanmar.

Bekas Penasihat Media Perdana Menteri itu mengulas penguatkuasaan undang-undang baru yang dibuat tanpa perbahasan di Parlimen.

Akta yang berkuatkuasa pada Jumaat (12 Mac) menetapkan langkah menerbitkan atau mengeluarkan semula apa jua kandungan yang sepenuhnya atau sebahagiannya palsu berkenaan pandemik atau perintah darurat ini dianggap satu kesalahan.

Bidang kuasa ordinan ini akan diperluas buat mana-mana individu yang melakukan kesalahan berkenaan cara Malaysia menangani pandemik ini di luar Malaysia, tanpa mengira kewarganegaraan, menurut perintah yang disiarkan dalam warta persekutuan kerajaan.

Mereka yang didapati bersalah akan didenda hingga RM100,000, penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.