Malaysia Dateline

Jangan jadikan Malaysia tong sampah dunia: Pas, belajarlah dari DAP

Pemimpin Pas diminta belajar dari DAP dalam menguruskan sisa-sisa plastik dari negara maju dengan tidak menjadikan negara ini sebagai ‘Tong sampah dunia’.

Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Zulhazmi Hassan melalui chanel Youtube beliau berkata, tindakan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang sedia menerima sampah yang berupa sisa plastik dari negara maju ke negara ini sangat tidak wajar.

“Kalau tak pandai hendak memerintahpun, belajarlah dari Menteri DAP sebelum ini, Yeo Bee Yin yang menolak Malaysia dari menjadi tong sampah dunia,” kata beliau yang lebih dikenali sebagai Jeming dalam siri bicara beliau melalui Youtube tersebut.

Jeming melahirkan rasa marahnya dengan tindakan Tuan Ibrahim yang berkata, sampah yang diterima oleh Malaysia adalah sampah bersih ketika memberikan sebab kenapa sampah yang berupa sisa plastik dari negara maju itu diterima oleh Malaysia.

“Apa bukti ia sampah bersih. Adakah sampah-sampah ini masuk makmal dahulu untuk diperiksa kalau-kalau ada micro organisme yang bahaya dalamnya?” tanya Jeming.

Isu sekarang, katanya, adalah sampah yang diterima oleh menteri itu untuk dibenarkan masuk ke Malaysia adalah sisa-sisa plastik yang kononnya bernilai dan boleh dikitar semula.

“Kalaulah ia bernilai dan boleh dikitar semula mengapa Amerika misalnya tidak mengitar semula sisa-sisa plastik itu sedangkan mereka mempunyai teknologi yang lebih canggih untuk berbuat demikian,” katanya.

Bahkan, kata Jeming, sebelum ini China pun sudah menolak untuk menerima sisa-sisa plastik itu dari masuk ke negara mereka.

“Malulah Malaysia bila menerima sampah ini. Berita Malaysia menerima sampah ini juga dilaporkan oleh media Indonesia…malunya,” kata beliau.

Sebelum ini, kerajaan Pakatan Harapan melalui menterinya Yeo Bee Yin menolak Malaysia dijadikan tong sampah dunia dengan menolak kemasukan sisa-sisa plastik dari negara maju itu ke negara ini.

Tetapi kini, Menteri Alam Sekitar yang juga Timbalan Presiden Pas serta Ahli Parlimen Kubang Kerian Kelantan menerimanya dan diisytiharkan sebagai sampah bersih.

Dalam siaran di Youtube itu juga Jeming berkata, sebelum ini beliau memperjuangkan agar Kelantan bebas dari sampah dengan memuatnaik gambar-gambar beliau bersama dengan longgokan sampah di merata tempat Kelantan.

Ekoran itu, katanya, beliau dilebelkan sebagai ‘Jeming Sampah’ oleh para penyokong Pas yang dinamakan ‘walaun’ oleh Jeming.

“Saya terima lebel itu kerana dengan itulah sampah-sampah itu segera dibersihkan oleh kerajaan negeri. Sekarang inipun kerajaan negeri membuat kempen menjaga kebersihan ekoran teguran itu, alhamdulillah,” katanya lagi.