Malaysia Dateline

Jangan jadikan manusia itu hamba, Anwar beri peringatan dalam ceramah sulung Jelajah Harapan

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramah sulung Jelajah Harapan Selangor malam tadi mengingatkan supaya manusia tidak harus dijadikan hamba.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan berkata, salah guna kuasa dan eksploitasi sumber tidak ada beza dengan perhambaan.

“Bagaimana darjat manusia diangkat? Membebaskan manusia daripada perhambaan. Kerja teruk, kilang untung beratus juta, gaji pekerja RM1,000.

“Nama saja negara merdeka tapi manusia di dalamnya diperhambakan. Wang dalam negara, hasil minyak dan balak dimentekedarah. Apa bezanya dengan perhambaan? Inilah perhambaan namanya.

“Rakyat di bawah tidak dipedulikan. Anak muda tiada kerja, tidak jadi isu. Mutu pendidikan ranap, tidak jadi isu,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Harapan Selangor di Dataran Pantai Morib Kuala Langat.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kerajaan negeri Selangor masih cuba untuk menyelesaikan urusan yang berkaitan Kerajaan Persekutuan termasuk isu sekolah serta harga ayam dan sayur.

Menurutnya, perkara tersebut masih diberi penekanan bagi mengangkat martabat manusia.

“Bagaimana manusia ini angkat darjat mereka? Pertama, jangan jadikan manusia itu hamba. Baik Muslim mahupun bukan, jangan menindas mereka.

“Pemimpin kaya-raya. Rakyat keadaannya macam sekarang ini. Itu pun bila datang pilihan raya, Yang Berhormat, Yang Berhormat, (rakyat) cium tangan,” ujarnya.

“Sebab itu antara keutamaan di Selangor, pampasan diberi secara adil yang tidak diperoleh banyak negeri lain.

“Inilah sebabnya jangan memperhambakan rakyat,” tegas Anwar lagi.

Baca juga ‘Tidak pernah dibuat mana-mana menteri, Zafrul sangat desperado’

Baca juga ‘Yang sebenarnya pembaziran utama ialah bayaran gaji menteri’ – Netizen bidas kenyataan Mahdazir