Malaysia Dateline

Jangan jadikan pemberian bantuan Ramadan trend bermusim, saran Exco Johor

Semua pihak hari ini dinasihati supaya tidak menjadikan pemberian bantuan Ramadan sebagai hanya satu trend bermusim semata-mata sebaliknya perlu dilakukan berterusan sepanjang masa.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata program sumbangan kepada asnaf dan golongan yang memerlukan perlu diteruskan walaupun di luar bulan Ramadan bagi meringankan beban mereka yang terlibat.

“Program seperti ini telah banyak dijalankan dan harus diteruskan walaupun di luar Ramadan sebab bukan dalam Ramadan ini sahaja kita boleh bantu golongan asnaf dan golongan yang memerlukan ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan (flag off) program Ziarah Kasih Ihya Ramadan anjuran Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) hari ini.

Sheikh Umar berkata Ziarah Kasih Ihya Ramadan berkenaan memasuki tahun kelima penganjurannya dengan tiga tahun sebelum ini dilakukan menerusi agihan bubur lambuk manakala pemberian sumbangan barangan keperluan dan duit raya pula dimulakan sejak tahun lepas.

Beliau berkata untuk program hari ini, sebanyak 24 kenderaan digerakkan secara konvoi bagi mengagihkan sumbangan barangan keperluan harian dan duit raya kepada 101 asnaf di kawasan Johor Bahru, Kulai dan Pontian.

Beliau berkata kesemua sumbangan terbabit merupakan dana yang dikumpul hasil sumbangan 50 agensi di bawah MPUNJ.

“Bersempena bulan yang mulia ini, semua orang berebut-rebut untuk membuat kebajikan, jadi, MPUNJ turut tidak melepaskan peluang terlibat sama dalam membantu golongan asnaf dan golongan yang memerlukan.

“Insya Allah, sekiranya tahun hadapan kapasiti tenaga kerja kita mencukupi dan dana yang kita perolehi juga banyak, program ini kita akan luaskan sehingga ke Kluang dan Simpang Renggam,” katanya.

— BERNAMA