Jangan jadikan SPRM ‘pokok mati dihiasi bunga palsu’

Jangan jadikan SPRM ‘pokok mati dihiasi bunga palsu’

Salahuddin Ayub

Kehilangan penjawat-penjawat awam berwibawa khususnya dalam bidang penguatkuasaan jenayah seperti bekas-bekas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bersara akibat kecewa kerana usaha mereka dibakulsampahkan oleh pihak tertentu tidak harus dibiarkan berlaku.

“Terbaru, Malaysia menyaksikan persaraan awal Datuk Bahri Mohamad Zain, bekas Ketua Bahagian Siasatan Khas SPRM,” kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Sehubungan itu, tambah beliau, Amanah bertekad untuk terus memperjuangkan agar SPRM menjadi sebuah agensi pencegahan rasuah yang berwibawa setaraf dengan badan-badan pencegahan rasuah antarabangsa.

“Peranan dan wibawa SPRM mesti terus diperkasakan sesuai dengan iltizam dan komitmen kerajaan yang benar-benar mahu memerangi budaya rasuah yang semakin membarah di negara ini.

“Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak diperingatkan supaya tidak menjadikan SPRM seperti ‘pokok mati yang dihiasi dengan bunga-bunga palsu’ bagi mengaburi mata dan menipu rakyat bahawa kononnya pentadbiran beliau serius untuk membanteras jenayah rasuah,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Salahuddin menambah, SPRM telah menjalankan tugas penyiasatan dengan baik tetapi kes-kes yang disiasat terutama yang berprofil tinggi seperti skandal 1MDB dan SRC International masih tidak menampakkan hasil kerana ianya berkahir di meja Peguam Negara.

Beliau turut menzahirkan komitmen Amanah untuk memperjuangkan urus tadbir yang baik seperti pemisahan kuasa dan kebebasan bertindak Peguam Negara mengikut Perlembagaan tanpa rasa takut dan memihak.

“Kuasa mendakwa  oleh Peguam Negara yang diperuntukkan oleh Perlembagaan hendaklah dijalankan berasaskan semangat keluhuran Perlembagaan.

“Amanah akan memastikan manifesto Pakatan Harapan mengangkat agenda ini,” tegas beliau.

COMMENTS

Wordpress (0)