Malaysia Dateline

Jangan jerung besar terselamat tetapi yang di bawah ditangkap

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi Malaysia masih membimbangkan dan memerlukan kesungguhan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanterasnya.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Port Dickson tersebut berkata, usaha membanteras rasuah hanya berkesan dengan kesungguhan pemimpin di Putrajaya.

“Rasuah tidak akan dapat dibendung dengan berkesan tanpa tekad pemimpin di atas.

“Kalau jerung-jerung besar itu terselamat maka memberi gambaran tidak baik dengan yang bawah ini ditangkap,” katanya dalam sidang media sejurus pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki di Putrajaya hari ini.

Mengulas pertemuan tersebut, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memberitahu perjumpaan diiringi beberapa pegawai kanan SPRM itu berlangsung “sederhana dan lebih lunak”

Presiden PKR berkenaan berkata, SPRM bahkan mendengar hujah-hujah dan pandangannya serta memberi jaminan tetap telus dalam menangani kes rasuah.

Tidak menutupĀ 

Mengulas siasatan SPRM terhadap pemimpin pembangkang pula, Anwar berkata, beliau tidak akan mempertahankan mereka terbabit jika benar ada fakta dan bukti yang kukuh.

“Saya beritahu (SPRM) ada kes khusus di mana seorang bekas menteri mengadu kepada saya bahawa beliau diberi jaminan oleh seorang menteri kanan (kerajaan Perikatan Nasional), kalau beliau lompat (parti) beliau akan dibebaskan daripada apa-apa tindakan rasuah.

“Saya kata, kalau kita benar-benar bersih tidak ada rasuah, kita tidak harus bimbang.

“Beliau dan pegawai-pegawainya memberi jaminan tetap bebas dan telus tidak menutup mana-mana kes kalau benar ada rasuah,” ujarnya.

Anwar memberitahu beliau turut mengingatkan SPRM agar tidak dilihat bersekongkol dengan mana-mana parti pemerintah.

“Kes sama. Fakta sama (tapi) yang kekal dalam pembangkang didakwa. Yang lompat dilepaskan. SPRM menjelaskan mereka tidak terlibat . Ini budi bicara Peguam Negara ketika itu.

“Saya mengingatkan hal itu tidak membantu SPRM kerana SPRM dilihat bersekongkol dengan penguasa sama ada BN, PH dan sekarang lebih parah lagi PN.

“Dia (SPRM) kata, SPRM menjalankan tugas sekadar yang mampu. Mengapa kedudukan itu menyelamatkan individu terbabit daripada siasatan rasuah?

“SPRM menjawab, tidak benar kami melindungi. Siasatan diteruskan walaupun kami tidak umumkan,” kata Anwar berkongsikan perbincangannya dengan SPRM hari ini.