Malaysia Dateline

Jangan kaitkan agama untuk wujudkan kekacauan, kata Nik Omar

Kemelut politik negara yang belum berkesudahan bukanlah ruang untuk menimbulkan kekacauan apa lagi menggunakan alasan agama.

Yang Dipertua (YDP) Yayasan Dakwah Islamiyyah Malaysia (Yadim) Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz menyeru seluruh rakyat khususnya anggota parti-parti politik bertenang dan memberi peluang institusi-institusi penting negara menjalankan tugas dengan baik.

YDP Yadim Nik Omar Nik Abdul Aziz sampaikan bantuan kepada asnaf

“Ini bukan masalah pertembungan antara agama, ini hanyalah pertembungan pendekatan antara sesama Islam yang memerlukan penyelesaian secara bijaksana dan teratur,” katanya ketika menyampaikan ucapan ringkas selepas mengimamkan solat hajat mengekalkan kerajaan Pakatan Harapan di Surau RTC Tunjung di Kota Bharu pagi ini.

Menurutnya semua pihak perlu memberi kepercayaan kepada sistem pentadbiran khususnya Majlis Raja-Raja dalam usaha menyelesaikan kemelut yang berlaku.

“Kita percaya Duli-duli Tuanku yang bakal bersidang hari ini akan memutuskan penyelesaian terbaik untuk kebaikan rakyat dan negara,” katanya.

Beliau bagaimanapun berpendapat mengadakan pilihan raya atau pembubaran parlimen bukanlah pilihan terbaik dalam situasi sekarang.

“Pilihan raya sudah tentu akan menghabiskan dana besar kerajaan dan rakyat yang amat tidak munasabah ketika ekonomi kita berhadapan dengan keadaan begitu tertekan sekarang.

“Ditambah lagi situasi ekonomi dunia yang begitu tidak tentu arah dan kini diburukkan lagi dengan kemunculan wabak COVID-19,” katanya.

Bagi penyokong Pakatan Harapan (PH) beliau menyeru semua bertenang dan meneruskan tugas masing-masing sehingga kerajaan baru dibentuk semula.

“Untuk waktu ini hanya operasi peringkat menteri dihentikan sementara tetapi semua jabatan dan agensi perlu berjalan seperti biasa memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Semalam bila saya hadir merasmikan program gotong-royong yang telah kita rancang ada yang tanya masih bolehkan saya menjalankan tugas lalu saya menjelaskan kita di peringkat agensi tiada perubahan apa-apa sehinggalah ada arahan oleh kerajaan baru,” katanya.