Jangan kaitkan orang lain dengan masalah dalaman Pas, kata Azmin

Jangan kaitkan orang lain dengan masalah dalaman Pas, kata Azmin
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mewakili Felda ketika menyampaikan sumbangan kepada pengusaha salah sebuah rumah anak yatim dalam majlis Iftar Ramadan Risda yang diadakan malam tadi.- Foto FB Azmin Ali.

Pas diingatkan supaya menyelesaikan masalah dalaman parti itu tanpa perlu mengaitkannya dengan pihak lain.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata tidak perlu mengaitkan beliau dengan masalah dalaman parti itu termasuk isu kartel dedak yang didedahkan baru-baru ini.

“Saya bukan ahli Pas, saya tidak terbabit dengan apa yang berlaku dalam parti itu.

“Saya kira itu masalah dalaman mereka yang perlu diselesaikan kerana hari ini, saya lihat kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) bahawa beliau tidak memberi restu (kartel dedak),” katanya pada Majlis Iftar Ramadan Risda  di ibu pejabat agensi itu,  lapor BHonline.

Beliau mengulas dakwaan menantu Abdul Hadi, Zaharudin Muhammad bahawa ketua ‘kartel dedak’ dalam kalangan pemimpin PAS ada kaitan dengannya.

Zaharudin yang juga bekas ahli Majlis Syura Ulama Pas, mendakwa pemimpin nombor satu kartel dedak itu juga rapat dengan, Mohamed Azmin dan pernah mendapatkan bantuan daripada pemimpin berkenaan.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, dakwaan Zaharuddin itu tidak berasas kerana beliau bukan ahli parti berkenaan.

Katanya, jika presiden parti tidak memberi restu maka perkara itu perlu diselesaikan mengikut cara mereka.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hasan yang mempersoalkan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim layak sebagai Perdana Menteri, Mohamed Azmin menyifatkan kenyataan itu tidak bertanggungjawab dan adil kepada Anwar.

Katanya, umum sedia maklum pertuduhan terhadap Anwar sejak 1998 itu adalah pertuduhan politik yang akhirnya membawa kepada pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong.

“Walaupun kita mempunyai pandangan politik yang berbeza tetapi kita harus berpegang pada fakta dan kenyataan bahawa kemelut (pertuduhan) ini telah diselesaikan dengan cara yang baik demi kepentingan negara,” katanya.