Malaysia Dateline

‘Jangan kata kita sombong tidak mahu berunding’

Punca kegagalan rundingan kerjasama politik dengan Pas dan Bersatu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah kerana kedua-dua parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu menuntut agihan kerusi secara sama rata.

Pemimpin Umno mengakui memang ada rundingan berhubung pengagihan kerusi sebelum ini, tetapi hanya membabitkan 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi buruan tiga parti terbabit.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Razali Ibrahim, berkata parti itu secara dasarnya bersetuju berunding dengan Pas dan Bersatu dalam menentukan agihan secara adil dan penuh keikhlasan, dengan pendirian untuk mengelak pertembungan.

“Namun, apa yang kita bincang itu hanya 23 kerusi, bukan 28 kerusi. Sebab kerusi lain, (Umno) tak mahu pun sebab kita tak bertanding di kerusi itu dari segi sejarahnya di Melaka.

“Untuk elak tiga penjuru bukan bermakna kerjasama, tetapi tak mahu bagi bertembung sebab akhirnya kita kalah kerana ketiga-ketiga parti ini berebut kerusi yang sama.

“Tidak adil bagi kita, jangan kata kita sombong tidak mahu berunding, kita sudah usaha akhirnya tidak berjaya,” jelasnya.

Razali berkata demikian ketika menjadi panel dalam satu program temu bual menerusi Facebook BN malam tadi.