‘Jangan kata sekali dalam 100 tahun, esok lusa pun boleh berlaku banjir luar biasa’

Oleh ARIF ATAN

Pakar Meteorologi Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah menolak tanggapan bahawa bencana alam terutama banjir luar biasa di negara ini hanya berlaku sekali dalam tempoh 100 tahun.

Menurutnya, keamatan hujan yang tinggi ditambah faktor-faktor lain yang hadir serentak penyebab kepada berlakunya banjir besar pada bila-bila masa.

Beliau mengingatkan bahawa banjir yang dahsyat disebabkan hujan berterusan untuk beberapa hari bukannya musim.

“Ada yang kata bencana banjir besar berlaku sekali dalam tempoh 100 tahun. Itu andaian yang tak betul kerana banjir luar biasa berlaku bergantung pada banyaknya hujan itu.

“Esok, lusa, minggu depan pun boleh terjadi hujan yang banyak. Jangan kata, 100 tahun kemudian berlaku banjir besar.

“Tahun 2017 dah berlaku banjir besar di Pulau Pinang tapi bukan Kuala Lumpur. Sistem yang sama (menyebabkan banjir luar biasa di Selangor pada 2021) juga sebenarnya sudah melanda Pulau Pinang pada 2017.

Dr Azizan Abu Samah

“MetMalaysia (Jabatan Meteorologi) pada 2021 pun ramal banjir yang teruk di Kuantan yang kurang sikit di Selangor.

“Namun, apa yang terjadi ialah banjir besar di Selangor. Ini semua berkait dengan jumlah hujan. Di Selangor akhir tahun lalu, ada faktor lain juga mengakibatkan kesan lebih teruk,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum “Tenggelamnya Lembah Klang : Kuasa Alam atau Kerakusan Manusia?” anjuran Kursi Kelestarian UKM-YSD awal tahun ini.

Banjir luar biasa disusuli dengan magnitud banjir yang lebih besar semakin kerap berlaku di negara ini.

Faktor reka bentuk sistem saliran, guna tanah, perubahan tanah, kejadian disusuli dengan air pasang besar menyebabkan kejadian banjir besar berlaku luar biasa.

Sementara itu, mengulas cuaca nyaman dan dingin dengan purata suhu harian negara dilaporkan di antara 22 hingga 30 darjah Celsius pada masa ini, Dr Azizan berkata, angin dari China memasuki Malaysia bermula awal November dan boleh menyebabkan suhu serendah 22 darjah Celsius.

“Perubahan angin monsun ini memang akan memberi kesan kepada suhu dan situasi ini akan turut dipengaruhi oleh geografi atau kedudukan sesebuah kawasan, sekiranya berada di tanah tinggi seperti Genting Highlands suhunya lagi sejuk,” katanya.

Menurutnya, cuaca dingin yang dirasai oleh rakyat Malaysia kini merupakan kesan peralihan angin Monsun Timur Laut (MTL) yang datang dari arah utara atau dikenali sebagai luruan monsun.

“Musim MTL ini memberi kesan kepada jumlah cahaya matahari yang diterima di Malaysia yang berkurang selain mendung dan hujan.

“Selain itu faktor sejuk yang dialami adalah berikutan angin Timur Laut yang dibawa dari Siberia,” dipetik Bernama.

Baca juga Kontroversi “kerajaan zina”: PN terbukti amal budaya politik fitnah

Baca juga Pekerja sanggup telan emas sebab nak seludup, tapi ‘kantoi’ dengan bunyi penggera