Jangan kecewa walaupun dikecewa pengundi, kata Hadi kepada ahli Pas

Jangan kecewa walaupun dikecewa pengundi, kata Hadi kepada ahli Pas

 

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Had Awang meminta ahli-ahli Pas tidak kecewa dengan keputusan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, walaupun mereka dikecewakan oleh majoriti pengundi yang tidak memberi kemenangan kepada Pas.

“Keputusan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar jangan sekali-kali mengecewakan ahli Pas, walaupun mereka dikecewakan oleh majoriti pengundi yang tidak memberi kemenangan dari segi pilihan raya itu kepada Pas.

“Apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW bahawa kalangan yang mewarisinya dalam menegakkan Islam akan dikecewakan adalah dalil kenabian yang benar-benar berlaku selepas wafatnya Baginda dan menjadikan kita lebih yakin kepada perjuangan ini,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh lidah rasminya, Harakahdaily hari ini.

Bagi beliau, walaupun Allah Maha berkuasa boleh memenangkan perjuangan Islam yang sebenar dalam sekelip mata dengan firman-Nya sahaja, tetapi Allah menetapkan bahawa fitrahnya sangat memakan masa dan melibatkan pengorbanan harta dan jiwa raga kerana Allah mahukan kemenangan dari pendukungnya yang mempunyai niat yang sangat murni, sehinggalah murni juga pengisiannya selepas kemenangan itu.

“Inilah rahsia dan hikmat di sebalik perjuangan yang panjang tanpa diketahui hujungnya melainkan mencapai keredhaan Allah, kemenangannya yang memakan masa dan pengorbanan di mana pahalanya tidak dapat dilihat dengan mata dan pancaindera,” katanya.

Ini adalah kenyataan pertama dari Hadi selepas Pas kalah teruk dalam dua pilihan raya kali ini di mana jumlah undi yang diperolehi calonnya lebih rendah dari yang diperolehi dalam pilihan raya 2004 lalu.

Dalam pilihan raya ini, calon Pas di Sungai Besar mendapat tempat tercorot manakala calonnya di Kuala Kangsar mendapat tempat kedua.

Calon parti pecahan Pas, Amanah pula mendapat tempat kedua di Sungai Besar dan ketiga di Kuala Kangsar.

COMMENTS

Wordpress (0)