Malaysia Dateline

Jangan kenakan PKPD di Penjara Reman, kuarters penjara P Pinang

Pulau Pinang akan mengemukakan cadangan agar kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Penjara Reman Pulau Pinang dan kuarters Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang.

Sebaliknya Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, PKPD akan dicadangkan untuk dikuatkuasa hanya di kawasan Penjara Seberang Perai dan kawasan kuarters kakitangan penjara.

Ini kerana menurutnya, beliau sendiri telah diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr Asmayani Khalib berhubung situasi terkini Kluster Penjara Reman, Kluster Penjara Seberang Perai dan Kluster Alma yang dikesan di negeri itu.

“Bagi Kluster Penjara Reman, tiada kes aktif baru dicatatkan dalam tempoh dua hari lalu. Semua banduan dan kakitangan telah menjalani saringan kedua. Sehingga kini kes-kes yang dilaporkan tidak melibatkan kakitangan Penjara Reman Pulau Pinang dan juga ahli keluarga mereka.

“Bagi Kluster Penjara Seberang Perai, selain banduan, kes-kes aktif yang dilaporkan turut melibatkan kakitangan dan ahli-ahli keluarga penjara.

“Justeru, JKNPP mengesyorkan supaya dilaksanakan PKPD hanya di Penjara Seberang Perai,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Majlis Keselamatan Negeri Pulau Pinang akan membawa cadangan berkenaan kepada Putrajaya agar saringan kontak-kontak rapat bagi Kluster Alma diteruskan oleh pihak Jawatankuasa Negeri Pulau Pinang.