Malaysia Dateline

Jangan kerana kuasa perjuangan Bersatu tergadai

Pengasas Bersatu kini hanya tinggal lima daripada tujuh pengasas setelah hilang akibat perebutan kuasa ketika belum berkuasa menjadi kerajaan, tegas Akhramsyah Muammar Ubaidah Tan Sri Sanusi.

Walau bagaimanapun, kata Pengasas dan juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, kuasa yang ada kini dalam kerajaan dilihat telah mempengaruhi tindakan, sikap dan juga keputusan yang dibuat.

“Saya kurang bersetuju dengan elemen-elemen kedua-dua kenyataan media oleh Ketua Penerangan Bersatu, Senator Dr Radzi Jidin yang juga merupakan Menteri Pendidikan kerana terdapat unsur-unsur yang melanggar prinsip Bersatu.

“Perkara 5 dalam kenyataan 7 Mei 2020 yang menidakkan hak ahli untuk ingkar dengan pendirian parti kelihatan keterlaluan apabila contoh yang diberikan yakni ekstrim menyokong gabungan parti lain, kemudian pula menyatakan gugur keahlian kerana tidak bersetuju dengan pendirian parti yang ditentukan oleh kepimpinan melanggar semangat penubuhan Bersatu.

“MPT Bersatu tidak pernah bersetuju untuk menyertai apatah lagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN),” jelasnya.

Sejajar dengan itu kata beliau, jika benar gugur keahlian mana-mana ahli yang menyertai gabungan politik yang tidak diluluskan sebagai dasar parti sepertimana mengikut logik Ketua Penerangan, maka kesemua ahli Bersatu yang kini menyertai PN gugur keahlian mereka.

Tambahnya, Perkara 3 dalam kenyataan 9 Mei 2020 lebih memburukkan lagi keadaan apabila ia memberi pengakuan seolah-olah kepimpinan Bersatu sudah berbulan-bulan bukan sekadar berbincang tetapi merancang untuk keluar dari Pakatan Harapan (PH) di seluruh peringkat parti.

“Persoalannya disini apa logiknya kita berkempen bersama di PRK Tanjung Piai dan PRK Kimanis bersama komponen PH serta Warisan, malah Ketua Penerangan sendiri memuji usaha Dap di Tanjung Piai.

“Selaku Ahli MPT Bersatu, saya menyangkal sekeras-kerasnya bahawa ada satu usaha besar-besaran disemua peringkat parti supaya Bersatu menderhakai persetujuan bersama PH.

“Pengakuan sebenar yang ada ialah usaha mempertahankan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri selama beliau sedia berkhidmat, tetapi tidaklah terlanjur sehingga meninggalkan rakan-rakan seperjuangan PH yang telah bertungkus-lumus bersama-sama menyelamatkan negara dari kleptokrat pada pilihan raya umum 2018, ” tegas beliau.

Menurut Akhramsyah lagi, sekiranya benar ada pemimpin Bersatu yang sedia merancang untuk mencabuli kesepakatan PH tanpa provokasi, ia merupakan suatu usaha tidak bermaruah, sekaligus melanggar prinsip tegar parti.

Katanya, seandainya Ketua Penerangan sendiri ada terlibat dalam sebarang usaha untuk mengeluarkan Bersatu dari PH, adalah tidak wajar untuk bersubahat atau mengheret pimpinan lain yang tidak terlibat sama sekali dalam usaha tidak bermaruah tersebut.