Malaysia Dateline

Jangan ketepi isu kritikal wanita dan kanak-kanak dalam RMKe-12, kata Wanita PH

Wanita Pakatan Harapan menegaskan bahawa Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) perlu menitikberatkan keperluan kritikal golongan wanita dan kanak-kanak agar tidak tercicir daripada agenda pembangunan dan pemulihan negara pasca pandemik Covid-19.

Ketua Wanita PH, Aiman Athirah Al Jundi bersama dua lagi anggotanya, Fuziah Salleh dan Chong Eng berkata, kerajaan sewajarnya memberikan keutamaan kepada tindakan segera berkaitan isu-isu pengupayaan dan perlindungan wanita, kanak-kanak dan institusi keluarga khususnya dalam empat tumpuan.

Antaranya mereka berkata, ibu-ibu warganegara Malaysia yang melahirkan anak di luar negara wajar diberikan hak yang sama dengan bapa warganegara Malaysia dalam penganugerahan kerakyatan kepada anak-anak mereka.

“Kerajaan dituntut agar segera menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memberi ibu status yang sama dengan bapa. Tiada erti laungan kosong ‘Keluarga Malaysia’ oleh Perdana Menteri jika beliau sendiri tidak berusaha memastikan tafsiran undang-undang dengan mengambil kira masa depan anak-anak Malaysia ini.

“Kedua, menyegerakan pembentangan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual di Dewan Rakyat supaya akta tersebut boleh diluluskan secepat mungkin dan memperkenalkan lebih banyak perlindungan daripada gangguan seksual.

“Ketiga, melaksanakan Dasar Keterangkuman Gender di semua negeri dalam Malaysia. Komitmen kerajaan dalam pemerkasaan gender seperti yang digariskan dalam RMKe-12 juga harus diiringi dengan iltizam politik untuk menggunakan piawaian antarabangsa melindungi hak wanita dan kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akhir sekali, Wanita PH menggesa kerajaan memberi tumpuan untuk melaksanakan dasar keluarga selamat di Malaysia seperti mana yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, dengan menyediakan lebih banyak inisiatif langsung bagi membantu mangsa keganasan rumah tangga khususnya bagi mendapatkan bantuan.

Menurutnya, mana-mana negara yang tidak memberikan keutamaan dan kepentingan kepada peranan, kedudukan, hak dan suara wanita sudahpun gagal dalam agenda untuk mengembangkan dan membangun agenda negara makmur, inklusif, mampan.

Wanita PH juga katanya, sedang dalam rangka mengemukakan saranan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan bagi pelaksanaan segera tindakan-tindakan di atas sebagai agenda teras pelaksanaan MoU Transformasi Pentadbiran dan Kestabilan Politik ini, kata mereka.