Jangan kocak sentimen agama, SOP murtad sudah wujud

Jangan kocak sentimen agama, SOP murtad sudah wujud

ULASAN : Awal pagi ini, saya dikirimkan dengan satu kenyataan daripada seorang Ahli Parlimen dan juga Ketua Penerangan Pas yang menulis darihal isu “SOP Murtad” di Sarawak.

Sejujurnya saya menjangka hal ini akan berlaku, walau tetap berdoa ada sedikit kebijakan yang tersisa pada hati budi mereka dalam menghadapi isu rakyat (Sarawak) ini secara jujur dan berminda “kerajaan”.

Apalagi bagi yang mengidamkan sangat untuk mereka menjadi “Kerajaan Teknokrat” untuk semua kaum dan agama!

Malangnya, jangkaan saya tepat. Isu seperti ini sekali lagi diambil peluang untuk menjadi Juara.

Juara menyerabutkan masyarakat dengan permainan sentimen agama yang berapi-api. Bukan itu sahaja, malahan dikaitkan pula dengan RUUP355 walau hakikatnya ia tiada kaitan.

Apa yang sebenarnya?

“SOP Murtad” telah sedia wujud dalam Enakmen Syariah Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain termasuk Perak.

Lalu apa pendirian Pas sebelum ini? Adakah Pas baru terjaga daripada lena yang panjang? Atau sememangnya jenis Parti Oppurtunis yang akan sering mempergunakan agama (Islam) untuk dilihat sebagai juara?

Sama seperti kes Indira Ghandi, yang apabila disiasat rupanya peruntukan yang sama juga telah diluluskan oleh Kerajaan Terengganu semasa Pas menjadi MB dan Kerajaan!

Dalam kes-kes murtad, Mahkamah Sivil telah menyerahkan kuasa bicara dan membuat keputusan kepada Mahkamah Syariah. SOPnya ada pelbagai. Lalu tuntutan PH Sarawak adalah SOP mana yang perlu diikut. Dan yang mereka minta adalah SOP itu. Diminta juga bukan kepada pihak lain yang tiada otoriti tetapi kepada Majlis Agama Islam Sarawak. Bukan diminta kepada Pope John Paul atau Queen Of England!

Perlu diingat, yang timbul di sini adalah SOP bagi menyelesaikan pelbagai kes rakyat berbangkit darihal murtad yang berpunca juga daripada pelbagai faktor termasuk pendaftaran yang salah (nama kaum bumiputera serupa muslim dan ada yang guna “bin” dan “binti”), masuk Islam semata-mata kerana perkahwinan (bukan kefahaman), anak kepada saudara baru (muallaf) yang selepas ibu ayahnya meninggal maka anak itu dipelihara oleh saudara yang bukan Islam berpuluh tahun dan kemudian hidup sebagai bukan Islam dan bermacam-macam kes lagi yang sememangnya rumit. Contohnya si anak itu tadi apabila besar dan ingin berkahwin maka barulah timbul semula persoalan akan status agamanya.

Lalu bagaimana ia harus diuruskan. Itu semua perlu kepada SOP yang jelas. Itu yang dituntut dan disarankan oleh PH Sarawak. PH bersiap mahu menjadi Kerajaan bagi menangani dan menyelesaikan permasalahan rakyat yang bukan sahaja terkait ekonomi dan kos hidup rakyat, tetapi menyeluruh.

“SOP Murtad” sama sekali bukan bertujuan bagi menggalakkan sesiapa sahaja murtad sesuka hati atau memudahkan seseorang itu murtad.

“SOP Murtad” sebenarnya adalah satu kaedah terpimpin yang ditetapkan oleh cerdik pandai Islam dan pengamal syariah dan diluluskan oleh kerajaan bagi mempermudahkan urusan hidup masyarakat.

Cuma cadangan saya ke hadapan, kita mungkin boleh berikan nama yang lebih baik, instead of “SOP Murtad” bagi mengelakkan salah faham dan ambil kesempatan khususnya oleh politikus-politikus Islam yang oppurtunis.

Persoalan akhir saya sebagai respon kepada sikap Pas ini, berebut mahu bertanding dalam Pilihan Raya untuk jadi Kerajaan yang bagaimana? Kerajaan kepada siapa? Kerajaan yang akan mengurus isu-isu rakyat yang pelbagai dengan sejujurnya dan adil atau Kerajaan yang hanya menyerabutkan rakyat dengan pelbagai sentimen dan emosi tanpa berpijak di bumi nyata?

Kita semua sedang bergerak untuk memimpin “dunia yang masih ada, bukan yang sudah tiada”.

*Penulis adalah Ketua Penerangan Wanita Pakatan Harapan

8.5
OVERALL SCORE
: 7.0
1 user vote x 10.0