Jangan ‘kunyah’ propaganda Myanmar, seru aktivis Rohingya

Jangan ‘kunyah’ propaganda Myanmar, seru aktivis Rohingya

Masyarakat Malaysia dinasihati supaya tidak terperdaya dengan propaganda kerajaan Myanmar yang bersikap prejudis sekali gus menafikan hak etnik Rohingya untuk meneruskan hidup.

Tengku Emma ZurianaAktivis kemanusiaan Rohingya, Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi (gambar kanan) berkata, rakyat di negara ini harus celik bahawa penindasan ke atas etnik tersebut sebenarnya merupakan krisis kemanusiaan dengan menyaksikan pembunuhan besar-besaran yang dahsyat.

“Kita tidak harus sewenang-wenangnya menganggap mereka yang menjadi pelarian itu sebagai mengundang masalah di negara ini pula.

“Kenapa sebahagian masyarakat kita suka sangat kunyah propaganda Myanmar? Apa yang kita dapat?

“Sepatutnya, masa-masa genting ini, bijak pandai negara kita harus lebih faham dan menyokong dan menggesa kerajaan mengambil tindakan yang lebih keras terhadap Myanmar bukannya membenci dan mengkritik mangsa (pelarian Rohingya),” tegasnya.

Beliau diminta mengulas tentang tanggapan sebahagian masyarakat Malaysia yang mencemuh pelarian Rohingya termasuk menggesa supaya diusir selain menuduh mereka terbabit sebagai pengotor dan bermasalah.

Menurutnya, Malaysia secara umumnya masih belum mempunyai perancangan rapi dengan pihak Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) dalam mengurus kehadiran mereka terbabit termasuk etnik Rohingya.

Akibatnya, jelas beliau, muncul dakwaan yang mengaitkan masalah sosial dengan kehadiran pelarian Rohingya di negara ini sehingga disalah anggap sebagai sikap keseluruhan etnik malang terbabit.

“Kalau mereka diberi peluang dalam sektor ekonomi sebenarnya kita yang lebih untung. Sebab pendidikan, kesihatan semua bawah UNHCR, tapi mereka menyumbang pada ekonomi.

“Selama ini, banyak NGO yang bantu (pelarian) Rohingya di Malaysia ini. Mereka tidak pakai duit kerajaan pun kerana mereka tiada hak pendidikan, kesihatan dan sebagainya kecuali yang ada kad UNHCR, dapatlah 50 peratus diskaun,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

{loadposition myposition}

Untuk rekod, terdapat 150,460 pelarian berdaftar di Malaysia dengan 139,200 daripadanya dari Myanmar, sementara yang lain berasal dari Sri Lanka, Pakistan, Somalia, Yemen, Sudan dan negara lain.

Dalam kalangan pelarian Myanmar mengikut statistik UNHCR setakat akhir tahun 2014 itu, sebanyak 50,620 orang ialah etnik Chin yang berasal dari barat laut Myanmar, 40,070 orang etnik Rohingya, 12,160 Myanmar Muslim dan 7,440 etnik Rakhine.

Mengulas lanjut, Tengku Emma memberitahu pelarian terbabit di negara ini terpaksa melakukan pelbagai kerja buruh sehingga terdedah kepada eksploitasi tenaga.

“Sebenarnya, banyak kerja rencam yang orang Malaysia tak nak buat, mereka buat kerana kekurangan pilihan dan mereka tidak dilindungi undang-undang. Bukan sahaja akan menimbulkan masalah kepada majikan, tapi juga kepada mereka juga akhirnya,” jelas beliau lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan pada 2 Februari lalu memberi kebenaran kepada 300 orang pemegang kad UNHCR dari etnik Rohingya untuk bekerja di negara ini secara berperingkat.

Projek Perintis Kebenaran Bekerja untuk Pemegang Kad UNHCR bagi yang melepasi saringan keselamatan dan kesihatan itu dilapor bermula secara rasmi pada 1 Mac tahun ini.

Sejak minggu lalu, tidak kurang 73,000 etnik Rohingya dilapor melarikan diri ke Bangladesh akibat kekejaman terbaharu tentera dan separa tentera Myanmar di negeri Rakhine.

Pelarian Rohingya terbabit menyelamatkan diri daripada diburu tentera Myanmar dengan berjalan kaki dan terpaksa menempuh sawah padi dari Sungai Naf yang memisahkan Myanmar dengan Bangladesh.

Saksi yang selamat memberitahu media antarabangsa pihak berkuasa terbabit tanpa perikemanusiaan merogol beramai-ramai wanita Rohingya dan membunuh wanita yang sarat hamil.

Bahkan, pihak tersebut dengan ganas memukul dan memenggal kepala kanak-kanak selain membakar penduduk hidup-hidup.

Pertubuhan Arakan Rohingya Kebangsaan pernah memaklumkan lebih 3,500 rumah di Rakhine telah dibakar atau dimusnahkan mengakibatkan sekurang-kurangnya 30,000 penduduk hilang tempat tinggal dalam tempoh kurang dua bulan sejak keganasan tercetus pada 9 Oktober tahun lalu.

CATEGORIES
TAGS