Jangan lantik individu cenderung politik calon baru Gabenor Bank Negara

Jangan lantik individu cenderung politik calon baru Gabenor Bank Negara

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan diingatkan melantik Gabenor Bank Negara yang baru mengikut apa yang disaran oleh bank pusat itu, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Tuan Ibrahim berkata Bank Negara Malaysia (BNM) khususnya penyandang jawatan gabenor sekarang, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz lebih mengetahui calon yang layak untuk mengisi jawatan itu.

“Semestinya BNM sendiri dan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz tahu siapa yang lebih layak menggantikannya dari segi kelayakan, kepintaran, kebolehan dan terutamanya mereka yang bebas politik dan berani menentang gangguan politik ke atas BNM,” ujar beliau.

Tuan Ibrahim menambah, kejayaan yang dicapai BNM dan Zeti dengan pengiktirafan pelbagai pihak sangat perlu dikekalkan, apa lagi dalam suasana negara berhadapan dengan pelbagai kemelut ekonomi serantau.

Menurutnya, kepakaran dalam menerajui kegawatan ekonomi semasa dan masa depan negara khasnya memerlukan kepakaran mengatasi tuntutan politik kepartian.

“Demi kebaikan negara dan BNM, PAS memohon BNM dan kerajaan mendedahkan kepada umum nama calon yang dikemukakan untuk memastikan kerajaan tidak bermain politik dalam hal ini.

“PAS tidak mahu insiden berulang di mana Peguam Negara mengumumkan tiada pendakwaan terhadap PM, manakala SPRM membayangkan adanya cukup bukti,” tegasnya.

Beliau khuatir jika urusan perlantikan gabenor BNM dicampuri tangan politik, ia akan menjejaskan lagi keyakinan rakyat dan dunia antarabangsa terhadap Malaysia.

Sehubungan itu, PAS katanya menggesa agar individu yang terlibat dengan politik dan pernah berkhidmat dengan kabinet di bawah Datuk Seri Najib Razak tidak dilantik sebagai Gabenor BNM yang baru kerana ia akan menjejaskan integriti dan nama baik institusi itu.

“Jaminan Perdana Menteri bahawa BNM akan bebas dari campur tangan ahli politik masih dinanti-nanti oleh rakyat. Jaminan ini sangat penting bagi membina keyakinan pelabur luar dan integriti BNM dapat dipertahankan,” ujar Tuan Ibrahim.

TAGS