Malaysia Dateline

‘Jangan lantik semata-mata kerana janji dan populariti’

Tokoh wartawan veteran, Datuk Abdul Kadir Jasin berpendapat pemotongan gaji perlu dibuat jika pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu melantik lebih seorang Timbalan Perdana Menteri.

Hal sama dilakukan kepada Jemaah Menteri yang boleh cuba dikurangkan kepada 25 atau 26 orang sahaja.

“Kalau hendak lantik banyak Timbalan Perdana Menteri, tolong potong gaji. Macam itu juga dengan Menteri.

“Janganlah lantik semata-mata kerana janji dan populariti. Lantiklah supaya kita ada kerajaan perpaduan yang berintegriti dan berkualiti,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Anwar mengesahkan akan mewujudkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri, dengan kedua-duanya bakal diisi oleh wakil daripada Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Mengulas lanjut, beliau berpendapat Anwar boleh ambil gajinya demi mengelak tanggapan buruk pada masa depan.

“Itu hak dia sebagai Perdana Menteri. Kalau tak mahu guna boleh derma. Takut nanti orang kata, macam mana Anwar jadi sangat kaya?

“Bukan kita tak mahu bagi kemudahan kepada Menteri. Cuma janganlah boros macam duit sendiri,” ujarnya.

A Kadir turut mengingatkan tentang realiti cabaran ekonomi pada masa depan selain masalah keperluan bekalan makanan

“Negara banyak masalah. Hutang dan jaminan hutang kerajaan satu trilion ringgit lebih. Subsidi saja RM80 bilion. Kenalah jimat kalau nak selamat.

“Baguslah indeks saham meningkat dan ringgit tambah kuat. Tapi yang lebih utama, telur ada dan harga tak mahal sangat,” tambahnya lagi.