Risau dengan tanggapan negatif umum terhadap kesungguhan kerajaan memerangi rasuah khususnya membabitkan pemimpin politik, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak melindungi pelaku rasuah sama ada membabitkan pemimpin kerajaan mahupun parti pembangkang.
Malah SPRM juga, ujar Mahfuz tidak boleh dilihat menjadi alat kepada mana-mana pihak yang cuba memburukkan seseorang dengan isu rasuah tanpa penjelasan hasil daripada siasatan.
“Dalam kes yang membabitkan laporan rasuah ke atas Lim Guan Eng (LGE), Ketua Menteri Pulau Pinang, saya mengalu-alukan dan menggesa SPRM mempercepatkan siasatan ke atas LGE atas isu pembelian rumah di bawah harga pasaran yang berharga RM2.8 juta…
“… malah jika didapati hasil siasatan mempunyai bukti yang mencukupi SPRM boleh mencadangkan pertuduhan ke atas LGE untuk diambil tindakan pendakwaan oleh Peguam Negara.
“Saya juga hendak tahu adakah benar dan bagaimana LGE boleh membeli rumah tersebut di bawah harga pasaran? Saya menggesa SPRM menyiasat apakah ada timbal balas daripada jual beli ini?” ujar beliau.
Bagaimana pun dalam ketegasan para pemimpin Umno-BN membangkitkan isu pembelian rumah LGE, beliau hairan dengan sikap mereka yang mempertahan dan melindungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes derma peribadi RM2.6 bilion dan wang RM42 juta dari SRC International ke akaun peribadi beliau.
“Bagi saya, jangan lindungi KM (Ketua Menteri) Guan Eng dan jangan lindungi PM (Perdana Menteri) Najib, jika cukup bukti dakwa mereka dan jika sabit kesalahan hukuman yang setimpal perlu dikenakan,” tegas beliau.
Mahfuz turut mempersoalkan mengapa kertas siasatan SPRM yang mengandungi cadangan pendakwaan ke atas PM Najib berhubung kes dana SRC International dalam akaun peribadi beliau dibakulsampahkan Peguam Negara.
Malah ujarnya, permohonan SPRM untuk mendapat kebenaran Mutual Legal Assistance (MLA) daripada Peguam Negara bagi mendapatkan bukti serta dokumen daripada institusi kewangan yang berpangkalan di luar negara tidak diluluskan sedangkan langkah ini diperlukan bagi meneruskan siasatan.
“Kenapa Peguam Negara takut dan enggan mengeluarkan MLA kepada SPRM? Kenapa dan apa hak Peguam Negara mengarahkan SPRM menghentikan siasatan ke atas kes dana RM2.6 bilion dan (dana) SRC (International berjumlah) RM42 juta dalam akaun peribadi PM Najib?
“Jangan lindungi PM Najib dan KM Guan Eng hanya kerana mereka mempunyai kedudukan dan kuasa.
“Jangan dilihat undang-undang di Malaysia hanya orang biasa yang bersalah sedangkan pemimpin yang berkuasa dilindungi dan terlepas lari,” ujarnya.