Jangan lupa AMANAH lahir untuk bantu rakyat, kata Hasanuddin

Jangan lupa AMANAH lahir untuk bantu rakyat, kata Hasanuddin

Naib Presiden AMANAH, Hasanuddin Mohd Yunus mengingatkan ahlinya untuk terus mempertahankan tiga nilai utama yang menjadi pegangan perjuangan parti itu dalam menyusun strategi demi kepentingan negara dan rakyat.

Beliau mengingatkan bahawa AMANAH dibentuk sebagai parti yang membawa ideologi untuk pembaharuan negara yang tidak lari dari keperluan menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat serta melahirkan tokoh-tokoh yang akan memperkemas ideologi parti itu sendiri.

Jelas Ahli Parlimen Hulu Langat itu, elemen tersebut tidak harus dilupakan, malah harus dipertahankan kerana itu dapat membuktikan AMANAH sebagai pejuang Islam yang menguntungkan negara.

“Perlu ingat, kita sebagai parti yang mempunyai ideologi dan fikrah yang mana kita himpunkan para ulama yang mampu membantu kita mengemaskan ideologi kita. Parti kita ialah parti yang membawa ideologi.

“Waktu yang sama kita juga adalah parti yang aktif menjaga isu semasa dan kepentingan orang ramai. Jika kita tidak mengambil berat soal rakyat, kita tak layak jadi sebuah parti dalam sistem demokrasi ini.

“Kita sebenarnya berada dalam laluan yang betul dan sedang mempertahankan Pakatan Harapan (PH). Kita berharap masalah dalaman yang dihadapi rakan-rakan kita dalam parti lain, dapat di selesaikan segera supaya tidak menganggu perjalanan kita dalam membina negara Malaysia baharu.

“Kita juga telah buktikan AMANAH sebagai pejuang Islam yang menguntungkan negara apabila kita bersungguh-sungguh membentangkan berkenaan pengisytiharan harta dan Rang Undang-undang (RUU) Guaman Syarie di Parlimen walaupun mendapat tentangan pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan AMANAH kawasan Gombak kali ke-3, di Dewan Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib.

Kata Hasanuddin lagi, peringatan seumpama ini supaya ahli tidak memikirkan parti semata-mata, sebaliknya memikirkan kepentingan ummah secara khusus sekaligus menolak amalan berebut kuasa.

Perwakilan mengikuti Mesyuarat Tahunan AMANAH Kawasan Gombak.