Malaysia Dateline

Jangan lupa isu kewangan Islam, pesan pakar kepada kerajaan PH

Selain kesibukan kerajaan Pakatan Harapan membersihkan pentadbiran kerajaan daripada pelbagai penyelewengan dan salah nadbir kerajaan terdahulu, kini kerajaan digesa untuk turut menjuarai isu kewangan Islam, demikian tegas Dr Zaharuddin Abdul Rahman.

Ini kerana katanya, sehingga kini belum kedengaran lagi pendirian pihak kerajaan sama ada oleh Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri Kewangan, mahupun Gabenor baru Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan panduan arah bagi sektor kewangan Islam di Malaysia.

Malah, katanya pihak pembangkang juga tidak pernah bertanya atau mengungkit hal ini sama ada di dewan rakyat atau dewan negara, mahupun dalam kenyataan-kenyataan politik mereka.

Beliau yang merupakan penasihat kewangan Islam tempatan dan antarabangsa mencadangkan agar pihak kementerian kewangan dengan sokongan dari Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bagi mengeluarkan kenyataan bahawa kelestarian industri Kewangan Islam akan diteruskan malah didokong penuh untuk terus berkembang melalui institusi sedia ada.

Tanpa sebarang kenyataan bertulis atau lisan oleh pihak kerajaan, katanya sedikit sebanyak meresahkan sebahagian pemain industri dan pendukung kewangan Islam akan masa hadapan industri ini di Malaysia.

Bahkan katanya, keutamaan kepada Kewangan Islam yang inklusif iaitu dengan memberikan gambaran bahawa pihak kerajaan juga akan mengkaji kesesuaian untuk memperkenalkan konsep ‘Islamic First’ iaitu memberi prioriti kepada produk Islamic Finance dalam urusan kewangan kerajaan dan GLC.

“Seperti sewaktu kerajaan ingin membuat ‘fund raising’ dengan penerbitan Bon, pemberian pembiayaan melalui institusi bersesuaian kepada rakyat melalui perbankan, yang biasanya di umum sewaktu bajet, simpanan dan pelaburan syarikat GLC dan yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ini kerana katanya, sektor kewangan Islam adalah bercirikan pelaburan dan instrumen bertaraf SRI and ESG pada hampir semua produknya yang tentunya memberi manfaat kepada seluruh masyarakat tidak kira agama dan kaum.

Malah tambahnya, statistik menunjukkan hampir USD 20 trillion wang telah dilaburkan oleh masyarakat antarabangsa ke dalam sektor pelaburan yang bersifat mesra persekitaran, kukuh selia tadbir dan berimpak tinggi dan positif kepada masyarakat awam (ESG dan SRI) termasuk juga kategori ‘sustainable investment’ dan ‘green investment’.

“Semua ini amat selari dengan ciri-ciri dan ukur rujuk (benchmark) bagi pelaburan patuh Syariah juga. Ini bermakna kumpulan masyarakat pelabur sudah mula memikirkan aspek positif lain selain hanya pulangan keuntungan kewangan semata-mata,” kata beliau.

Di Malaysia, Value Based Intermediation (VBI) telah diperkenalkan, maka jelas Zaharuddin amat wajar kerajaan baru untuk terus memperkemas dan memperkukuhkannya.

“Secara ringkasnya, VBI telah diperkenalkan oleh BNM supaya sesebuah institusi kewangan Islam, tidak hanya mengejar keuntungan tetapi turut memberi perhatian penuh kepada nilai tambah positif dalam setiap produk terhadap ekonomi, komuniti dan persekitaran.

“Maka untuk memastikan VBI dapat mencapai matlamatya dan bukan hanya berbangga dengan konsep, suatu Key Performance Indicator (KPI) mesti dicipta dan diwajibkan ke atas institusi kewangan Islam khasnya dan juga perbankan konvensional melalui Bank Negara Malaysia.

“Memperkenalkan Simpanan Shariah bagi Tabung LTAT, Tabung Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan menambah dan meneruskan keseriusan pelaburan Shariah bagi PNB, Khazanah serta Ekuinas dan banyak lagi,” uarnya.

Beliau tidak menafikan terlalu banyak tugasan yang perlu dilaksanakan, khasnya bagi sebuah gabungan baru di antara pelbagai parti yang pertama kali bergabung dan mencapai kemenangan, malahan dua parti darinya belum pun berusia setahun penubuhan.

Bagaimanapun, beliau meminta pihak kerajaan agar tidak lupa memberikan tumpuan kepada pemerkasaan sektor kewangan Islam yang telah sedia berkembang pesat di Malaysia, khasnya bermula tahun 1983.

“Prestasi kerajaan Malaysia di bawah pentadbiran lama, boleh dipuji dalam hal mempromosi dan memperkukuhkan sektor Kewangan Islam dengan kejayaan, antaranya memperkenalkan Islamic Financial Services Act 2013, wujudnya institusi seperti INCEIF, ISRA, IBFIM dan ASAS, Malaysia Islamic Finance Centre (MIFC),
Bursa Malaysia memperkenalkan Islamic Market, KWSP memperkenalkan Simpanan Syariah, beberapa buah Development Financial Institution (DFI), dan penerbitan Bon Oslam (Sukuk) diperingkat kerajaan dan swasta,” katanya.