Malaysia Dateline

Jangan lupa, Umno pun terlibat dengan kerajaan gagal, kata Pejuang Muda

Kandungan laporan Reuters yang disiarkan hari ini perlu dinilai dan dipertimbangkan pihak yang mentadbir kerajaan, kata Ketua Penerangan Pejuang Muda Malaysia, Akif Rusli.

Akif berkata, laporan Reuters menunjukkan bahawa tempoh pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin adalah tempoh pentadbiran yang bermasalah dengan ketidaktentuan politik, ketidakstabilan ekonomi dan peningkatan kes pandemik Covid-19.

Beliau mengingatkan bahawa pentadbiran terdahulu telah dianggotai oleh barisan pimpinan Umno yang turut sama terlibat gagal menangani permasalahan negara dengan baik.

“Lebih 50 peratus anggota Jemaah Menteri yang bersaiz gergasi dianggotai oleh parti komponen yang serupa (PN-BN-Pas).

“Kini, desas desus berkenaan kembalinya Umno untuk mentadbir kerajaan kian memuncak, dengan perkiraan sokongan yang dilihat menyebelahi pentadbiran sama namun pimpinan yang berbeza.

“Semoga apa yang berlaku adalah demi kesejahteraan rakyat dan negara dan bukan lagi demi kepentingan laba politik seperti pentadbiran terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, pengurusan permasalahan rakyat dan negara jauh lebih penting berbanding kedudukan politik kepartian sekarang ini.

Pejuang Muda turut menyatakan keyakinan bahawa dengan adanya usaha untuk mewujudkan model dan struktur Majlis Pemulihan Negara (MPN) seperti yang diilhamkan Tun Dr Mahathir Mohamad, dapat membantu menyelesaikan perrmasalahan rakyat dan negara.