Jangan main-main isu nafkah, suami wajib beri walaupun isteri jutawan – Ustaz Azhar Idrus”

Oleh WAN SITI AMINAH

Pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus tampil menjawab persoalan berhubung kewajipan suami untuk membayar nafkah ketika mengulas mengenainya dalam satu sesi ceramah.

Hal ini kerana timbul satu persoalan mengenai satu situasi di mana sesorang isteri itu mempunyai pendapatan lebih tinggi daripada suami lalu adakah pasangannya terlepas daripada tanggungjawab membayar nafkah.

Dalam sesi ceramah tersebut, Ustaz Azhar menjelaskan bahawa seorang suami tetap wajib menunaikan nafkah walaupun isterinya memiliki pendapatan tinggi bahkan bergelar jutawan sekalipun.

Pendakwah yang juga mesra dikenali sebagai UAI itu juga tidak menafikan bahawa masalah suami enggan tunaikan tanggungjawab membayar nafkah merupakan isu paling banyak berlaku dalam negara ini.

“Isu paling banyak di dalam Malaysia ialah suami tak bayar nafkah. (Masalah ini timbul) sebabnya isteri sudah bekerja atau suami itu memang jahat. Padahal seorang suami itu wajib memberi nafkah.

“Seperti makan, minum, tempat tinggal dan juga pakaian sampai isterinya mati. Walaupun isteri dia itu merupakan jutawan, jadi jangan main-main,” kongsinya dalam sesi ceramah tersebut.

Difahamkan, sesi ceramah itu sempat dirakam sebelum sedutan video tersebut dikongsikan di platform Instagram yang dimuat naik melalui akaun milik @ceramahustazustazahmalaysia.

Penceramah bebas yang berasal dari Terengganu itu juga menegaskan bahawa nafkah kepada isteri di setiap bulan tetap akan menjadi hutang dan wajib diganti semula jika suami gagal melunaskannya.

“Isteri tak wajib keluarkan satu sen pun dalam hal rumah tangga. Ingat, (kalau) suami tak bagi (nafkah) maka akan jadi hutang sampai mati.” Kata Ustaz Azhar memberikan peringatan terutama kepada para lelaki bergelar suami.

Baca juga: “Aku sampai terfikir nak pinjam ‘along’ sebab gaji tak cukup, suami selamba goyang kaki kat rumah”