Jangan malu untuk kembali sokong BN di PRU15, kata Zahid

Oleh NASUHA RAHMAN

Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan memastikan sejarah hitam PRU-14 tidak berulang dan mengembalikan sebuah kerajaan rakyat iaitu kerajaan Barisan Nasional.

Oleh itu, beliau merayu agar rakyat memberi peluang kepada BN untuk kembali sebagai teras pentadbiran negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Melalui status terkini, Zahid berkata, selepas lebih tiga tahun berlalu sejak PRU14 kini Malaysia mempunyai sebab yang munasabah untuk meyakini BN.

“Justeru jangan segan dan usah berasa malu untuk kembali menyokong BN kerana itu juga suatu jasa dan pengorbanan demi masa depan,” katanya.

Bahkan katanya, kerajaan BN adalah kerajaan paling berwibawa, berkemampuan dan berpengalaman untuk mentadbir dan membawa kemakmuran.

“Rakyat Melaka telah pun menjayakan misi itu pada 20 November lalu dan harapan seterusnya kini pada bahu rakyat di negeri-negeri lain.

“Seruan mengembalikan kemakmuran bersama kerajaan BN bukan retorik sebaliknya berdasarkan kebenaran yang disaksikan rakyat Malaysia sejak 9 Mei 2018,” katanya.

Justeru katanya, perjalanan negara sejak merdeka telah membuktikan kerajaan BN adalah kerajaan paling berkaliber dalam memastikan pentadbiran ekonomi yang cemerlang, kestabilan yang terbilang dan kesejahteraan rakyat yang gemilang.