Jangan mangsakan pelajar cemerlang kerana kad pengenalan, gesa Wanita DAP

Jangan mangsakan pelajar cemerlang kerana kad pengenalan, gesa Wanita DAP

Birokrasi kerajaan terhadap permohonan status kewarganegaraan pelajar cemerlang STPM Roisah Abdullah (foto) yang masih belum selesai amat mengejutkan dan membuktikan kerajaan tidak serius mengenai nasib dan masa depan golongan ini.

Penolong Setiausaha Publisiti Wanita DAP Kebangsaan, Syerleena Abdul Rashid berkata, di sebalik jaminan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk meluluskan permohonan kerakyatan Roisah, pelajar itu diminta ‘pulang’ dan kementerian hanya akan mempertimbangkan permohonannya.

“Roisah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM dan biasanya akan mudah menerima tawaran universiti dan biasiswa.

“Malangnya, dari sudut perundangan, Roisah dikategori sebagai tidak memiliki kerakyatan meskipun lahir dan dibesarkan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu, situasi yang dihadapi pelajar cemerlang tersebut sehingga mengganggu peluang pendidikan dan masa depannya tidak wajar terjadi memandangkan pendidikan merupakan hak asasi manusia yang perlu dipelihara.

“Birokrasi ini jelas buang masa saja. Tarikh akhir untuk membuat permohonan kemasukan ke universiti melalui sistem Unit Pengambilan Universiti (UPU) ialah pada 10 April ini,” katanya.

Syerleena berkata kerajaan yang dipimpin BN sering mendakwa akan melakukan yang terbaik untuk generasi masa depan tetapi layanan dan birokrasi yang terpaksa dihadapi Roisah Abdullah jelas membuktikan mereka tidak peduli.

Diskriminasi yang dihadapi rakyat tanpa kewarganegaraan dalam negara ini jelasnya sering dibangkitkan namun sikap sambil lewa dan tidak prihatin kerajaan amat menggusarkan.

“Ketidaktentuan dan kurangnya status perundangan kepada warga tanpa kerakyatan di Malaysia menjadikan mereka terdedah kepada eksploitasi, pemerdagangan manusia dan mendedahkan mereka kepada perlanggaran hak asasi manusia yang lain seperti dinafikan hak untuk pendidikan dan kesihatan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Malay Mail melaporkan Roisah, 21, menerima tawaran biasiswa daripada Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak).

Membaca pendedahan akhbar itu awal minggu ini, ketua eksekutifnya Amil Izham Hamzah menyifatkan ketabahan Roisah satu sumber inspirasi.

“Saya pasti banyak pihak, seperti kami di UniRazak, senang hati memberinya peluang untuk lebih maju dalam hidup,” katanya kepada akhbar ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh juga ingin membantu Roisah, yang tiada sijil lahir, belajar di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tertarik dengan nasib gadis itu yang terumbang-ambing tanpa kad pengenalan, Idris akan bertemu menteri dalam negeri untuk membincangkan perkara itu.

Selasa lalu, Malay Mail melaporkan permohonan Roisah, yang fasih berbahasa Melayu, ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Negara beberapa kali.

“Pihak berkuasa kata mereka tidak pasti siapa ayah saya, yang tinggalkan ketika saya lahir, mereka tidak boleh memberikan kerakyatan kepada saya.

“Namun saya memang tinggal di Malaysia, bukan negara-negara lain, jika tidak di Malaysia, ke mana lagi saya pergi?” katanya.

Mendapat 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), Roisah menjadi anak angkat seorang tukang jahit.

Satrah Nabowah memeliharanya sebagai anak sejak dilahirkan. Gadis itu pernah memohon kerakyatan pada 2011 dan 2013 tetapi ditolak.

Membesar di Klang, bekas penuntut SMK Sungai Kapar Indah hanya mempunyai keputusan peperiksaan tetapi tidak boleh pergi jauh tanpa dokumen asas itu.

“Hari jadi saya bakal menjelang pada 25 April, saya harap menjadi warga negara Malaysia sebagai hadiah hari jadi terindah buat saya,” katanya lagi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pernah berkata kanak-kanak boleh bersekolah sementara menunggu permohonan warganegara.

Namun beliau, juga menteri dalam negeri, tidak menyebut sama ada mereka yang mengalami nasib malang itu boleh melanjutkan pelajaran ke universiti.

Mesra dipanggil Roi, beliau berdepan diskriminasi ekoran ketiadaan dokumen tersebut walau membesar dan ramai rakan di Klang.

CATEGORIES
TAGS