Malaysia Dateline

Che Ibrahim Mohamad

Jangan mangsakan peneroka Bukit Tandak akibat kecuaian pembangkang, kata Che Ibrahim

Kegagalan penyelesaian Felcra Bukit Tandak berpunca dari kecuaian Kerajaan Negeri Kelantan apabila MB Kelantan, Datuk Mohamad Yaacob (1978 – 1990) dan Allahyarham Datuk  Nik Abdul Aziz Hj Nikmat (1990 – 2013) gagal menyelesaikan urusan pemberian hakmilik tanah kepada peneroka tersebut.
Jurucakap AMANAH Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata Felcra semasa menyerahkan tanah tanah yang dibangunkan olehnya kepada Kerajaan Negeri pada tahun 2005, tidak menyebut dengan jelas hak yang sepatutnya disempurnakan kepada peneroka tersebut.
“Kelemahan atau kegagalan tersebut telah membuka ruang kepada kerajaan selepasnya iaitu MB Dato Ahmad Yacob mengambil kesempatan menafikan hak yang sepatutnya diberi kepada 348 orang peneroka itu, dengan meluluskan sebahagian daripada tanah yang dibangunkan oleh Felcra di Bukit Tandak kepada orang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kerajaan Negeri katanya difahamkan telah bersetuju untuk memberi hakmilik kepada 209 orang pemohon yang memohon tanah tersebut pada tahun 2009, manakala permohonan untuk mendapat hak yang sama oleh 348 orang peneroka masih dalam pertikaian.
“Saya berpandangan Felcra dan Kerajaan Negeri hendaklah duduk semeja dan bertanggungjawab ke atas Rancangan Tanah dan peneroka yang mereka sendiri telah adakan sebelum ini.
“Jangan biarkan peneroka menjadi mangsa kerana kesilapan dan kerenah pengurusan.
“Jika apa yang berlaku di Bukit Tandak ini gagal diselesaikan, saya yakin bukan peneroka Felcra Bukit Tandak sahaja yang akan menjadi mangsa, tetapi akan ada lagi Rancangan rancangan tanah Felcra seumpamanya Bukit Tandak ini yang akan terkesan sama.
“Bahkan peneroka tanah KESEDAR pun akan mengalami nasib yang sama jika KESEDAR melakukan perkara yang sama seperti yang Felcra lakukan,” katanya.
Beliau yang juga Naib Pengerusi AMANAH Kelantan sejarah masalah ini bermula apabila Felcra mendapat kelulusan Kerajaan Negeri untuk membangunkan Rancangan Tanah tersebut pada tahun 1979 sebagaimana kelulusan MMK 12/548/79(32).
“348 orang peneroka tanah tersebut telah dipilih oleh satu Jawatankuasa Pemilihan Peneroka yang dipengerusikan oleh TMB Kelantan sendiri pada tahun 1982.
“348 orang peserta berkenaan telah mencurah tenaga sebagai peneroka Felcra yang terlibat dalam kerja kerja menanam, menjaga kebun dan menoreh getah tersebut hingga ke hari ini.
“Mereka telah membayar fee pembangunan tanah secara ansuran melalui potongan dividen bulanan mereka kepada Felcra dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM5,800,155.78 atau sebanyak RM16,667.00 setiap seorang peserta,” katanya.
Menurutnya 348 peneroka tersebut telah dibayar dividen bulanan daripada hasil jualan getah dari tanah rancangan tersebut hingga ke hari ini oleh Felcra.
“Sebagai peneroka Felcra Bukit Tandak, selain daripada mendapat bayaran dividen bulanan, mereka juga dijanjikan akan diberi hak milik tanah seluas 6 ekar seorang peserta.
“Mereka juga telah diberi lot rumah dan telah membina kediaman mereka di atas lot tersebut, bahkan sebahagian daripada mereka telah mendapat geran bagi lot rumah tersebut,” katanya.