Malaysia Dateline

Jangan menyamakan kemuliaan Islam dengan parti politik

Orang yang pandai dan berakal akan mengetahui dan memahami bahawa parti politik tidak boleh disamakan dengan Islam.

Orang yang bodoh, fanatik dan tidak berakal pula akan menyamakan kemuliaan Islam dan parti politik yang bernama Islam.

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ
“.. Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” (Az-Zumar:9)

Parti politik walaupun diletak nama Islam tidak boleh dianggap sama hukum sebagai Islam yang suci dan mulia.

Parti politik boleh sahaja korup, pemimpinnya boleh jadi ada yang rasuah dan menipu tetapi Islam itu jujur, adil dan amanah.

Memusuhi atau membenci parti politik yang bernama Islam tidak boleh dianggap sebagai memusuhi Islam.

Menentang parti politik yang bernama Islam tidak boleh disamakan dengan menentang Islam.

Ini adalah asas yang perlu diperjelaskan agar tiada yang keliru dan ragu-ragu lagi.

Politik ialah ijtihad. Tidak boleh dipaksa orang lain untuk mengikut ijtihad kita.
Kita sokong parti jenama Islam maka kita tidak boleh memaksa orang lain menyokong parti jenama Islam yang sama.

Orang lain ada ijtihad mereka. Orang lain pun ada tokoh dan ulama rujukan mereka.

Tidak boleh mewajibkan sesuatu secara semberono dan pukul rata.

Contohnya, hudud adalah wajib, oleh kerana parti A mahu melaksanakan hudud yang wajib itu maka menyokong parti A adalah wajib. Ini salah dan tidak betul.

Hudud walaupun wajib ianya bukan wajib الفور iaitu kewajipan yang perlu terus buat atau segera.

Buktinya, Nabi salallahualaihiwassalam menunda hudud bagi perempuan hamil sehingga beranak dan menyusu.

Hudud tidak dilaksanakan ketika kemarau pada zaman Umar RA.

Hudud ialah kewajipan secara التراخي iaitu boleh dilaksanakan pada waktu yang sesuai atau boleh dilewatkan walau ianya wajib.

Kewajipan melaksanakan hudud tidak hanya berlaku dengan jalan politik tetapi juga boleh berlaku dengan jalan-jalan lain, justeru tidak boleh mewajibkan sokongan kepada parti A kerana masih ada cara lain melaksanakan hudud.

Sokongan kepada parti A juga tidak boleh diwajibkan apabila masih ada parti umat Islam yang lain dalam politik yang boleh menandingi parti A.

Kita hendaklah jangan merendahkan kemuliaan Islam dengan menyamakannya dengan parti dan ahli politik yang keji, menipu dan sanggup mengorbankan prinsip serta menunggang nama agama demi mendapatkan sokongan dan kuasa.

الإسلام يعلو ولا يعلى عليه
“.. Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya…”
[HR. Al-Tabarani dan Al-Baihaqi]